Jayakan gerak kerja holistik dengan pendekatan realistik dan tanggungjawab kolektif: Mizma

0
Mizma (tengah) bersama perwakilan Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Silam pada Perhimpunan Agung UMNO 2017 di PWTC, Kuala Lumpur
Mizma (tengah) bersama perwakilan Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Silam pada Perhimpunan Agung UMNO 2017 di PWTC, Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR: Gerak kerja holistik yang disarankan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, adalah pendekatan realistik yang perlu diterjemahkan secara pragmatik dan bukannya dengan retorik, kata Ketua Pergerakan Wanita Umno Silam, Mizma Apehdullah.

Sehubungan itu, katanya, tanggungjawab itu perlu digalas bersama secara kolektif oleh ketiga-tiga sayap Wanita, Pemuda dan Puteri Umno, demi memastikan parti terus relevan dan kekal sebagai tunjang pemerintahan kerajaan.

Katanya, saranan itu menunjukkan sudah tiba masanya bagi semua pihak menghentikan retorik dalam perjuangan, sebaliknya mengambil pendekatan yang holistik lagi pragmatik.

“Untuk mencapai kemenangan besar dengan majoriti lebih dua pertiga, memang perlu dan wajar jentera ketiga-tiga sayap parti digerak serta digembleng secara bersepadu dengan rentak yang sama,” katanya ditemui pemberita di Pusat Perdagangan Dunia Putra (PWTC) semena Persidangan Agung Umno (PAU) 2017 di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika mengulas ucapan Zahid yang juga Naib Presiden Umno menjalankan tugas Timbalan Presiden, ketika merasmikan serentak Persidangan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno, pada Selasa malam.

Sambil menyambut baik saranan itu, Mizma turut berikrar untuk menggalas tugas dan amanah yang diberikan demi memastikan Umno mencapai kemenangan besar dengan majoriti dua pertiga dalam PRU-14.

Katanya, adalah penting kemenangan parti diutamakan terlebih dahulu, dan ia hanya boleh dicapai jika semua pihak sedia menggalas amanah secara holistik dan kolektif.

Beliau menegaskan bahawa adalah penting soal kesatuan, perpaduan dan solidariti ditekankan oleh setiap ahli parti dalam mengharungi cabaran perjuangan.

Menurutnya, dengan bayangan bahawa PRU-14 yang semakin hampir, bermakna setiap pimpinan parti tidak boleh berlengah masa dalam mengatur strategi serta persiapan di peringkat akar-umbi.

“Bermakna selesai saja PAU 2017 ini, kita semua perlu balik ke kawasan masing-masing untuk memastikan kesiapsiagaan di peringkat akar-umbi,” katanya, sambil menegaskan jentera Wanita Umno Silam sedia digerakkan pada bila-bila masa.

Mizma turut berharap agar semua pihak dalam parti jangan mengambil sikap sambil lewa dalam menangkis pelbagai dakyah serta tohmahan yang dilemparkan pembangkang.

“Kita jangan ambil mudah isu-isu kecil yang dimanipulasi pembangkang, sebaliknya kita jelaskan kepada rakyat hakikat dan realiti sebenar, sebelum jarum yang disuntik pembangkang itu menusuk hati ahli-ahli kita,” katanya.