MINATNYA terhadap muzik mendorong pemuda kelahiran Beluran ini untuk terus berkarya.
Baru-baru ini Edwin Ahmad atau lebih dikenali sebagai Arewien mengeluarkan single terbaharu yang diberi judul ‘Hombo No Batos Nu’.
Lagu balada berbahasa Dusun ini mengisahkan pengorbanan seorang lelaki terhadap wanita yang dicintainya sia-sia sebab akhirnya wanita itu memilih untuk bersama dengan lelaki lain.
Mengulas lanjut mengenai lagu singlenya ini, Arwien berkata lagu ini hasil dari hadiah pertandingan pentas 6 Juara menerusi genre lagu tempatan.
“Liriknya saya tulis dalam bahasa Malaysia dan diterjemahkan oleh S. Welly. Susunan muzik dibuat oleh komposer Kamal Abas Dan Balzet Dausin dan dirakam di generasi studio kinabatangan.
“Dalam pertandingan nyanyian yang saya sertai iaitu Pentas 6 Juara, terdapat enam genre yang dipertandingkan iaitu genre tempatan, irama Malaysia, balada, pop rock, rock kapak dan dangdut.
“Pentas 6 Juara bertujuan utk menghasilkan bakat-bakat baru untuk menyinari industri seni sabah dengan membuka platform untuk enam genre yang berbeza… Johan dan naib johan akan berpeluang merakamkan single.
“Jadi dalam pertandingan ini, saya merupakan johan bahagian genre tempatan…Makanya saya berpeluang menghasilkan sebuah single terbaharu,” ceritanya kepada Hiburan BNN.
Menjadikan kejayaan penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza sebagai idola, Arwien telah mengeluarkan dua single berjudul Ralan Piupusan dan Dikau Ku Cinta pada tahun 2015.
Menurutnya dia menanam hasrat yang tinggi untuk menghasilkan album penuh suatu masa nanti.-oleh Evachel J. John/BNN