Polis harus ambil tindakan tegas terhadap pegawai menteri -Jainab

0
Datuk Hajah Jainab Datuk Seri Panglima Ahmad Ayid.
 KOTA KINABALU: Pergerakan Wanita Umno Negeri Sabah hari ini menggesa pihak polis mengambil tindakan tegas terhadap pegawai Timbalan Menteri Dalam Negeri (KDN),Dato Azis Jamman yang dilapor merakam bahagian bawah skirt wanita.

Ketuanya, Datuk Hajah Jainab Datuk Seri Panglima Haji Ahmad Ayid berkata, perilaku tidak bermoral dan keji pegawai itu jelas tidak menghormati kaum wanita.

“Walaupun Azis Jamman dilaporkan telah memecat pegawai itu, kes itu tidak harus dikira selesai, pihak polis harus mengambil tindakan tegas terhadap individu berkenaan tanpa pilih kasih.

“Sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri dan Ahli Parlimen Parti Warisan, Azis tidak harus hanya memecat pegawai itu dan tutup kes? Ini jelas tidak adil, tidak menghormati wanita. Di mana perlu letak maruah mangsa?”, katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam  tular video dan gambar Pegawai Khas Azis Jamman merakam bahagian bawah skirt wanita Cina di premis pemeriksaan mata di Kuala Lumpur.

Dalam satu laporan polis oleh Ho Pey Khee, seorang juru optik melaporkan ketika dia melakukan pemeriksaan mata terhadap Azis Jamman, seorang lelaki  telah merakam dari bawah skirtnya. Laporan polis dibuat di Balai Damansara Petaling Jaya.

Jainab berkata,  walaupun Malaysia diterajui oleh Kerajaan Malaysia Baharu, namun rakyat tanpa kira lelaki atau perempuan, bangsa,  agama dan fahaman politik harus hormat menghormati diantara satu sama lain.

“Jangan hanya kerana pegawai tu bertugas dengan KDN yang mana pihak berkuasa polis dibawah jagaannya, maka dia boleh bertindak sesuka hati tanpa hormati undang-undang.

“Justeru tindakan tegas harus dikenakan terhadap pegawai terbabit kerana semasa bertugas dengan Azis, dia adalah staf KDN yang menguatkuasakan undang-undang negara”, tambahnya.

Jainab  juga mempersoalkan Azis sebagai Ahli Parlimen Sepanggar telah mengambil individu berkenaan yang mempunyai moral yang rendah sebagai pegawainya.

Individu itu dilaporkan pernah disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan telah dipecat daripada Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Jainab yang juga Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Sepanggar berkata, ramai belia Sabah yang berpendidikan yang sedang menganggur dan memerlukan pekerjaan.

“Azis sepatutnya memberi peluang kepada anak-anak tempatan Sabah berkhidmat dengannya atau KDN daripada melantik individu yang pernah disiasat SPRM dan juga dipecat oleh UMS “, tambahnya.

Mantan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Sabah itu mahu pihak polis memandang serius  kes ini kerana ia melibatkan Pegawai Khas Timbalan Menteri Dalam Negeri.

“Yang bersalah harus dihukum berdasarkan undang-undang yang dikuatkuasakan dan tidak patut ada pilih kasih kerana Malaysia bukan melaksanakan “undang-undang hutan” (law of  the jungle)”, tegasnya.-Oleh LSK/BNN