Harga barang naik kerana SST bebankan rakyat-Jainab

0
Datuk Dr Hajah Jainab Datuk Seri Panglima Ahmad Ayid.

KOTA KINABALU: Pergerakan Wanita UMNO Sabah memandang serius kenaikan harga barangan yang berlaku di negeri ini selepas pelaksanaan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sehingga membebankan rakyat.

Ketuanya, Datuk Seri Panglima Hajah Jainab Datuk Seri Panglima Haji Ahmad Ayid berkata, pihaknya menerima banyak aduan daripada rakyat di peringkat akar umbi mengenai kenaikan harga barangan selepas SST dilaksanakan.

“Berdasarkan pemantauan dan juga aduan yang diterima oleh Wanita UMNO di seluruh negeri, SST telah menyebabkan harga barangan naik dan tidak mengubah harga perkhidmatan kerana Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) juga  mengenakan jumlah yang sama.

“Ternyata cukai jualan pada kadar 10% dibawah SST telah menyebabkan harga barang di kedai runcit atau pasar raya naik “, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jainab yang juga mantan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna berkata, apabila Kerajaan kenakan cukai pada kadar 10%  dibawah SST ke atas pengilang, dan pengilang mengutip cukai itu daripada pemborong yang kemudiannya menjualnya kepada peruncit, maka akhirnya harga barang di kedai runcit atau di supermarket akan naik.

Beliau berkata, kenaikkan harga barangan sejak SST dilaksanakan telah membebankan rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah dan kurang mampu di kawasan luar bandar.

“Mereka tidak ada pilihan dan terpaksa membeli barang keperluan harian tersebut dengan harga yang lebih tinggi berbanding semasa GST”, tambahnya.

Menurutnya,  penguatkuasaan 6% cukai perkhidmatan pula, telah menyebabkan syarikat yang menawarkan perkhidmatan seperti restaurants yang menawarkan perkhidmatan memperoleh keuntungan lebih daripada langkah berkenaan.

“Ini juga telah menyebabkan harga makanan dan minuman di restaurant turut meningkat secara mendadak dan memberi kesan kepada pengguna.

“Ternyata semasa kerajaan mengumumkan kadar 0%  GST,  harga barangan dan perkhidmatan tidak mengalami penurunan yang ketara. Sekarang dengan SST yang melibatkan 10% cukai jualan dan 6% cukai perkhidmatan telah menyebabkan harga barang meningkat”, jelasnya.

Jainab berkata, kenaikan harga barang juga tidak selari dengan matlamat dan manifesto kerajaan Pakatan Harapan (PH)  yang ingin mengurangkan kos sara hidup dengan menghapuskan GST apabila mengambil alih tampuk pemerintahan daripada Barisan Nasional (BN).

Serentak itu beliau menggesa bahagian penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah menggiatkan pemeriksaan terhadap peniaga-peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga barang.

Katanya, tindakan tegas harus diambil terhadap peniaga yang menggunakan pelbagai alasan untuk menaikkan harga barang.

“Ini termasuklah membuat pantauan terhadap setiap rantaian pembekal dan membuat pengecualian terhadap barang-barang yang sepatutnya”, tegasnya.

Jainab menegaskan, KPDNHEP harus mencari jalan untuk mencegah peniaga-peniaga menaikkan harga barang sesuka hati.

“Mungkin juga disebabkan nilai ringgit Malaysia jatuh, maka sedikit sebanyak memberi impak terhadap kenaikan harga barang-barang import dan keperluan, tetapi itu bukan alasan kepada peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga barang” ,tegasnya.

Katanya, walaupun KPDNHEP Sabah berpendapat bahawa harga barangan selepas pelaksaan SST direkodkan stabil di Sabah, tetapi ianya hanya berdasarkan kurangnya aduan diterima  oleh pihak kementerian.

Jainab berkata, berdasarkan aduan diterima oleh pergerakan itu, harga barangan di kawasan luar bandar  mencatat meningkatan yang lebih ketara.

Menurutnya,  sikap pengguna di kawasan luar bandar yang kurang minat melaporkan kenaikan harga barangan kepada KPDNHEP tidak bererti harga barangan di Sabah masih stabil.

“Berdasarkan jumlah notis dan tindakan kes yang diambil oleh KPDNHEP terhadap premis perniaga di Sabah, jelas bahawa peniaga masih melanggar pelbagai kesalahan dibawah pelbagai akta yang dikuatkuasakan”.

“Sebagai rakyat, kita perlu peka kepada peniaga yang mengambil kesempatan”, tegas nya. -Oleh LSK/BNN