Wanita UMNO Sabah semakin kukuh- Jainab

0
Jainab bersama kepimpinan Wanita UMNO Sabah mengadakan perbincangan bersama Datuk Seri Bung Moktar Radin.

KOTA KINABALU: Pergerakan Wanita UMNO Sabah kini didasari oleh akar umbi yang semakin kukuh, kata Ketuanya Datuk Dr. Hajah Jainab Datuk Seri Panglima Haji Ahmad Ayid.

Katanya, selepas peristiwa 12 Disember 2018 yang menyaksikan ramai pemimpin UMNO meninggal parti itu, Wanita UMNO Sabah kini berada di landasan yang kukuh.

“Pemimpin silih berganti dan tindakan keluar parti oleh mantan pemimpin UMNO Sabah yang telah berhijrah, kita hormati keputusan mereka dan diucapkan selamat maju jaya. Bagi kami yang tinggal, seperti yang selalu dilaungkan, kami akan terus berjuang dulu, kini dan selamanya. Insyaallah.”

“Pemimpin datang dan pergi, yang pergi biar kan pergi. Kita yang tinggal akan meneruskan perjuangan untuk terus membina semangat untuk bangkit bersama-sama ahli-ahli yang tinggal bersama parti yang kita cintai,” katanya.

“Kita amat bersyukur dan istiqamah, kerana ahli-ahli UMNO Sabah di akar umbi khususnya pergerakan wanita masih tetap setia dengan perjuangan parti”, beliau menambah.

Beliau berkata demikian pada majlis angkat sumpah jawatan Pergerakan Wanita UMNO Negeri Sabah di bilik mesyuarat bangunan UMNO Sabah di sini, hari ini.

Jainab yang juga Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Sepanggar berkata, UMNO Sabah masih mempunyai ramai ahli yang masih setia dan sayangkan parti.

Katanya, setelah pembersihan parti berikutan mantan pemimpin UMNO Sabah meninggal parti, UMNO kini telah memasuki fasa ujian ketahanan mental dan semangat setia seorang pejuang.

Beliau berkata, Wanita UMNO juga yakin dengan kepimpinan Pengerusi UMNO Sabah yang baharu, Datuk Seri Bung Moktar Radin dapat meneruskan kelangsungan perjuangan UMNO di Sabah.

“UMNO Pusat telah memberi kuasa autonomi kepada UMNO Sabah untuk menentukan halatuju perjuangan termasuk soal membela nasib Bumiputera di negeri ini.”

“Kepada ahli-ahli Wanita UMNO, marilah istiqamah. UMNO masih kekal ada. Saat inilah kita diuji sama ada kita benar-benar ibu terbaik kepada bangsa. Kerana seorang ibu yang mulia dan cekal menghadapi cabaran tidak akan meninggalkan keluarganya saat dilanda  musibah”, tegasnya.

Jainab berkata, Wanita UMNO Sabah akan turut membantu kempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih pada Mac 2019 sekiranya diperlukan.

“Kami akan bawa semangat Cameron Highlands ke Semenyih, untuk kami sebarkan kasih sayang, keikhlasan parti untuk rakyat kawasan itu. Kita percaya rakyat mulai sedar propaganda Pakatan Harapan (PH)”, tegasnya.

Jainab turut mengumumkan kepimpinan baharu Pergerakan Wanita UMNO Sabah.

Selain beliau, Naib Ketua Wanita Negeri, Puan Juriah Palasin (Putatan), Penolong Setiausaha dan Puan Hajah Aminah Johan (Kinabatangan). Beberapa rombakan telah dibuat.

Antara muka lama yang dilantik ke jawatan Ketua Penerangan Wanita UMNO Negeri ialah Hajah Musliati Muslimin (Kota Kinabalu) dan Hajah Chaya Haji Sulaiman (Kalabakan) sebagai Bendahari Wanita UMNO Negeri.

Seramai 12 muka baru kini memangku jawatan Ketua Wanita Bahagian. Mereka terdiri daripada; Puan Salmi Salim (Kota Marudu), Puan Laisan Sain (Kota Belud), Hajah Lerie Duasa (Tuaran), Puan Helini Asmat (Kimanis), Hajah Amuilin Junsin (Sipitang), Puan Mastura Dol Suhaili (Ranau), Hajah Salbiah Suhaiden (Keningau), Puan Sarimah Eting (Beluran), Puan Suhana A. Tahir (Batu Sapi), Puan Salbiah Haron (Sandakan), Puan Siti Royani Rafaie (Silam) dan Hajah Murni Mohd.Tahir (Tawau).

Sementara itu, Dr.Jainab turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Bung Moktar kerana melantiknya sebagai Pengerusi Biro Kebajikan dan Keselamatan.

“Kita bertekad untuk menjaga kebajikan dan keselamatan golongan yang memerlukan pembelaan dengan memberi fokus kepada kebaikan (kindness), empati (empathy) dan kesejahteraan (wellbeing).

“Kita akan bekerjasama dengan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGOs) dan sukarelawan bagi mencapai matlamat itu”, tambahnya. -pr/BNN