SRS perlu jadi mata dan telinga pihak berkuasa-Ewon

0
Ewon (enam dari kanan), Mohd Zaidi (lima dari kanan), Mohd Shazliansah (tujuh dari kanan) dan Mohd Syazli (lapan dari kanan) bergambar bersama penduduk yang menyertai program itu
KOTA BELUD: Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Ewon Benedick berkata, Skim Rondaan Sukarela (SRS) perlu menjadi ‘mata dan telinga’ pihak berkuasa untuk menyalurkan maklumat dan mengenalpasti sesuatu yang cenderung berlaku aktiviti jenayah di kawasan masing-masing.

Beliau berkata, daerah Kota Belud mempunyai SRS terbanyak iaitu 27 daripada 352 SRS yang ditubuhkan di seluruh Sabah.

“Program Jom Ronda Bersama SRS ini amat penting untuk menjaga keselamatan, kesejahteraan dan keharmonian di setiap kawasan perumahan termasuk perkampungan luar bandar.

“Oleh itu saya menghadiri program ini untuk menyampaikan sokongan saya kepada pasukan keselamatan dan SRS, bahawa tugas berkaitan memelihara dan menjaga keselamatan serta keharmonian komuniti tidak harus diletakkan semata-mata kepada pasukan keselamatan, tetapi ianya tanggungjawab bersama sebagai satu komuniti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Program Jom Ronda Bersama SRS Peringkat Daerah Kota Belud, di perkarangan Masjid Jamek Kg.Sembirai Usukan, di sini.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berharap, program seumpama itu dapat diteruskan untuk kebaikan dan kesejahteraan masyarakat kampung.

Beliau berkata, ini kerana Program Jom Ronda Bersama SRS dapat membantu pihak berkuasa membendung kegiatan jenayah dan dan gejala sosial di kawasan setempat.

Turut hadir Ketua Polis Daerah Kota Belud Mohd Zaidi Abdullah, Penolong Pegawai Unit Keselamatan Komuniti Mohd Shazliansah Wun Sang Mohd Gazali, Penolong Pegawai Rela Daerah Kota Belud Rayner Jerus dan Penolong Pegawai Perpaduan Daerah Kota Belud Mohd Syazli Madzah.

Program itu disertai kira-kira 150 orang termasuk 27 SRS Kota Belud, anggota Polis dan Rela.

Sementara itu ketika berucap pada majlis itu, Mohd Shazliansah berkata Program Jom Ronda Bersama SRS merupakan Program Outcome Based Budget (OBB) Jabatan Perpaduan Negara di bawah aspek keselamatan dan memperkasakan kawasan Rukun Tetangga dan SRS disamping mengeratkan hubungan SRS bersama agensi-agensi kerajaan.

“Daerah Kota Belud antara daerah yang terpilih daripada 11 daerah seluruh Sabah untuk melaksanakan program ini.

“Objektif program ini adalah untuk memperkenalkan Skim Rondaan Sukarela kepada masyarakat daerah Kota Belud,” katanya.

Mohd Shazliansah berkata, SRS diwujudkan untuk membantu pihak berkuasa membendung kegiatan jenayah dan gejala komuniti setempat seterusnya meningkatkan keselamatan dan mencegah jenayah dengan kerjasama PDRM, Rela, AADK serta pihak berkuasa tempatan.

Beliau berkata, Jabatan Perpaduan mengalu-alukan kawasan Rukun Tetangga yang ingin menubuhkan SRS untuk menghantar permohonan ke pejabat Perpaduan daerah Kota Belud.-pr/BNN