Parti politik, rakyat Sabah perlu bersatu tuntut hak-hak Sabah dikembalikan

0
Datuk Dr.Hajah Jainab Datuk Seri Panglima Haji Ahmad Ayid

KOTA KINABALU: Parti-parti politik di negeri ini  perlu berpolitik secara matang dan bersatu  menuntut agar Kerajaan Persekutuan mengembalikan hak-hak Sabah yang telah terambil oleh mereka, kata Ketua Pergerakan Wanita UMNO Sabah, Datuk Dr.Hajah Jainab Datuk Seri Panglima Haji Ahmad Ayid.

Katanya, sudah tiba masanya parti politik di Sabah, sama  ada daripada parti pemerintah atau parti pembangkang mengangkat agenda perjuangan itu bersama.

“Kita perlu ketepikan fahaman politik dan agenda peribadi masing-masing, sebaliknya bersatu dan  bersama-sama menuntut agar Kerajaan Persekutuan kembalikan hak-hak yang sepatutnya dimiliki oleh Sabah.

“Semua parti politik di Sabah sepatutnya bersatu hati dan bersama-sama menuntut hak-hak dan kepentingan negeri ini dikembalikan oleh Kerajaan Persekutuan.

“Sekiranya kita tidak mahu terus dikotak-katikkan oleh mana-mana pihak, pastinya Sabah dan Sarawak akan terus ketinggalan”, katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jainab berkata, Pergerakan Wanita UMNO Sabah menyokong kenyataan Ketua Pemuda UMNO Sabah, Ir. Abdul Aziz Julkarnain yang menggesa semua pihak di Sabah termasuk pemimpin politik, masyarakat mahupun masyarakat non partisan agar memahami hak-hak negeri yang terambil oleh Kerajaan Persekutuan agar dapat dikembalikan.

“Jangan meletakkan perjuangan ini hanya di pundak dan bahu pemain-pemain politik semata-mata. Adalah tanggungjawab kita bersama memahami intipati dokumen-dokumen seperti, Perjanjian Malaysia 1963, Perlembagaan Persekutuan, Inter-government Committee (IGC), Malaysia Solidarity Consultative Committee (MSCC),The Cobbold Commission,. Singapore Referendum, dan dokumen-dokumeb lain berkaitan”, katanya.

Beliau  menyeru kepada Kerajaan Negeri agar melibatkan bersama aktivitis terdahulu yang konsisten menuntut hak-hak negeri, agar dapat menasihati kerajaan berkenaan pengembalian hak-hak negeri Sabah.

Sebagai contoh katanya, Jawatankuasa Teknikal Penurunan Kuasa (Devolution of Power Committee) yang terletak di bawah Kabinet Persekutuan BN dahulu telah mencapai peringkat akhir untuk dimuktamadkan. Jawatankuasa tersebut telah dipengerusikan bersama-sama oleh wakil dari negeri-negeri Borneo iaitu Datuk Seri Panglima Anifah Aman(dari Sabah) dan Datuk Seri Hajah Nancy Haji Shukri(dari Sarawak).

“Saya menggesa agar Ketua Menteri,  Datuk Seri  Shafie Apdal agar mencontohi kerajaan dahulu yang menjemput bersama aktivis-aktivis di luar kerajaan seperti pembangkang dan NGO agar matlamat bersama oleh rakyat Sabah keseluruhannya tercapai.

“Saya percaya ianya masih belum terlambat untuk kita semua dan proses ini masih sedang berlangsung. Bersama kita kuat, berpecah kita lemah”, tegasnya Abdul Aziz.

Jainab  berkata, Kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu juga menubuhkan sebuah jawatankuasa khas peringkat negeri yang diketuai oleh Datuk Teo Chee Kang bagi membincang dan mendapatkan semula semua hak Sabah yang diambil kerajaan persekutuan.-pr/BNN