Hajiji menerima borang penyertaan masyarakat Dusun Lotud Tuaran ke BERSATU Sabah

0
Hajiji menerima borang-borang keahlian daripada Louis Lidong di majlis itu.

KOTA KINABALU: Penyelaras Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menerima borang permohonan keahlian daripada masyarakat Dusun Lotud Tuaran pada Majlis Mesra BERSATU P.170 Tuaran di Rumah Asap Dusun Tuaran, semalam.

Borang keahlian itu telah serahkan oleh  kumpulan yang diketuai oleh Encik Louis Lidong dan Encik Alidin Aning.

Hajiji yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman dalam ucapannya mengalu-alukan penyertaan, sokongan dan dokongan masyarakat Pribumi Sabah terhadap perjuangan BERSATU.

Katanya, BERSATU Sabah yang telah dilancarkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr.Mahathir Mohamad pada 6 April lalu, akan mengadakan siri jelajah ke seluruh negeri bagi memberi penerangan terhadap perjuangan yang dibawa oleh parti itu.

Menurutnya, BERSATU mendapat sambutan yang luar biasa oleh rakyat Sabah sejak dilancarkan.

“Saya difahamkan ramai yang mahu menyertai BERSATU. Selain telah berjaya menerima  lebih 120 ribu ahli semasa pelancaran,  BERSATU pusat akan membekalkan 100 ribu lagi borang keahlian untuk Sabah”, tambahnya.

Turut hadir di majlis itu ialah Timbalan Presiden parti STAR, Encik Edward Linggu, pemimpin masyarakat setempat khususnya masyarakat Dusun Lotud.-pr/BNN