TUARAN: Pesta Kaamatan merupakan perayaan yang cukup istimewa dan penting khususnya bagi masyarakat Kadazan Dusun Murut (KDM) di Sabah, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
Katanya, perayaan itu yang diwarisi turun temurun oleh nenek moyang kita turut diraikan bersama oleh masyarakat lain di negeri ini.
Beliau berkata, itu keistimewaan di Sabah, termasuk daerah Tuaran. Apabila kita merayakan sesuatu perayaan, ia akan dirasai, disertai dan diikuti oleh rakyat berbilang kaum yang lain.
“Masyarakat berbilang kaum di Sabah sudah terkenal kerana mempunyai sifat dan hidup dalam keadaan harmoni sejak zaman nenek moyang lagi.
“Kita hidup dalam keadaan harmoni menerusi budaya kita yang begitu tinggi nilainya. Justeru budaya nenek moyang dan bangsa kita mesti kita pertahankannya sampai selama-lamanya”, katanya.
Hajiji yang juga Ketua Penyelaras Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah berkata demikian ketika merasmikan sambutan Pesta Kaamatan “Mogi’ Imbang-Imbang” Kaamatan KIOSA Kupang Kampung Roun/Kiwatu 2019 di Dewan Serbaguna Kampung Roun di sini, semalam.
Turut hadir ialah Timbalan Ketua Penaja BERSATU Bahagian Tuaran, Encik Abd. Kassim Razali, Presiden Persatuan Komulakan Lotud Sabah (KLOSA), Peter Lintar, Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan, Encik Jefree Mian dan pemimpin masyarakat setempat.
Hajiji berkata, kini orang asal Sabah mesti memastikan budaya tradisi itu, kekal diamalkan oleh generasi muda, supaya mereka tahu bahawa inilah peninggalan nenek moyang mereka yang tidak boleh dilupakan begitu sahaja.
Katanya, semangat dan roh perayaan Pesta Kaamatan sentiasa ada dalam jiwa masyarakat suku kaum Lotud dan KDM khususnya di Tuaran,.
“Ini sesuatu yang mesti mereka meraikan sebagai satu tanda keagungan budaya bangsa. Ini perlu kita hormati dan sanjung, walau apa juga bangsa kita”, tegasnya
Hajiji turut merasmikan Dewan Serbaguna Kampung Roun serentak dengan sambutan Pesta Kaamatan di majlis itu.-pr/BNN