Atasi Jurang Ketidaksamaan Sosio Ekonomi Wilayah, Negeri -Dr. Ronald Kiandee

0
Dr. Ronald menyampaikan hadiah kepada pemenang acara perbarisan.
BELURAN:  Malaysia akan menjadi sebuah negara yang mampan sekiranya berjaya mewujudkan kesamaan sosio ekonomi merentas wilayah dan  negeri,  kata Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee.
Dr. Ronald memeriksa kontinjen perbarisan.
Katanya, setakat ini jurang ketidaksamaan sosial ekonomi itu masih wujud dan ia perlu ditangani segera.

Beliau berkata, pelbagai pendekatan perlu dilakukan oleh pihak kerajaan untuk mengurangkan jurang ketidaksamaan sosio ekonomi antara wilayah dan negeri.

“Ketidaksamaan sosio ekonomi  ini telah di highlightkan dalam Laporan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke 11 yang telah dibentangkan di Parlimen tidak lama dahulu.

“Yang jelas sehingga tahun 2016, Sabah adalah antara negeri yang mencatat pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita yang terendah”, katanya.

Ronald berkata demikian ketika merasmikan sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Daerah Beluran di Pekan Beluran semalam.

Malah katanya,  kawasan Beluran juga dilaporkan merupakan antara daerah yang mencatat insiden kemiskinan dua digit iaitu sebanyak 12.1%”.

Menurutnya, usaha berterusan hendaklah dilakukan oleh kerajaan untuk mengurangkan ketidaksamaan ini yang masih wujud, demi kesejahteraan rakyat.

Menurutnya, pembangunan asas di kawasan luar bandar perlu terus diberi keutamaan oleh kerajaan, termasuk pelaksanaan program bantuan meningkatkan ekonomi  rakyat haruslah dilaksanakan dengan lebih baik, agar lebih ramai kumpulan sasar mendapat manfaat daripadanya.

“Kerajaan perlu memperbaiki ketidaksamaan ini daripada berterusan melalui Rancangan Malaysia Ke 12 (RMK12).

Sebanyak 27 kontinjen dari pelbagai jabatan kerajaan, sekolah dan badan bukan kerajaan daerah Beluran telah mengambil bahagian dalam acara perbarisan.-pr/BNN