KOTA KINABALU: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Sepanggar hari ini menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) agar tidak melayan gesaan veteran DAP Lim Kit Siang agar pengharaman komik Inisiatif Jalur dan Jalan ditarik balik.
Ketua bahagiannya, Encik Razali Razi@Bob berkata, keputusan KDN mewartakan perintah larangan terhadap komik “Inisiatif Jalur & Jalan Meraih Manfaat Bersama”, termasuk versi kedua-dua bahasa Inggeris dan Cina, amat wajar.
“KDN tidak perlu tunduk dengan gesaan dan permintaan Lim Kit Siang atau mana-mana pihak kerana kandungan penerbitan ini dipercayai akan mendatangkan kesan yang negatit kepada masyarakat.
“Kita tidak mahu masyarakat negara ini khususnya generasi muda disajikan dengan buku komik itu yang antara lain cuba mempromosikan ideologi komunisme dan sosialisme, selain menyebarkan fakta yang salah dan mengelirukan tentang komunis”, katanya dalam kenyataan, hari ini.
Razali yang juga seorang peguam mengulas kenyataan Lim yang mahu KDN mengkaji semula keputusannya mengharamkan komik itu, yang diumumkan kementerian itu semalam.
Lim berkata, ini kerana kerajaan Pakatan Harapan (PH) menerajui pentadbiran atas janji akan memperkenalkan era keterbukaan lebih besar tanpa menjejaskan keselamatan negara.
Malah katanya, dalam Janji 27 manifesto PH, telah secara khusus menyatakan akan memansuhkan undang-undang yang menindas seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
KDN dalam perintah itu menetapkan pencetakan, pengimportan, penghasilan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikannya dilarang secara mutlak.
Menurut kementerian itu, terdapat kandungan yang mungkin memudaratkan ketenteraman awam dan keselamatan serta mungkin menggemparkan fikiran orang ramai.
Kandungan penerbitan ini antara lain cuba mempromosikan ideologi komunisme dan sosialisme, menyebarkan fakta yang salah dan mengelirukan tentang komunis serta mengandungi unsur untuk membangkitkan sokongan dan simpati terhadap perjuangan komunis.
Menurut KDN, ia juga boleh menimbulkan keraguan kepada pembaca khususnya generasi muda tentang sejarah Malaysia, seterusnya mempertikaikan usaha serta perjuangan tokoh dan pemimpin terdahulu dalam memperjuangkan kemerdekaan dan membangunkan negara.
“Kandungan penerbitan ini dilihat tidak mengambil kira sensitiviti rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama serta dibimbangi boleh memecah belahkan keharmonian dan perpaduan masyarakat,” tambahnya.
Razali berkata, Lim sepatutnya sedar bahawa keputusan KDN mengharamkan buku komik itu semata-mata untuk kebaikan dan kepentingan awam dan negara.
“KDN juga perlu menyiasat dan mengambil tindakan terhadap individu yang terlibat secara langsung dalam penerbitan buku komik yang dikatakan mempromosi ideologi komunisme”, katanya.
Sementara itu Razali turut menyokong kenyataan Ketua Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor yang menempelak Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) DAP, Ronnie Liu yang mengeluarkan kenyataan tidak wajar terhadap Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Hajiji berkata, pimpinan Bersatu Sabah akan terus menyokong kepimpinan Tun Dr Mahathir selaku Pengerusi parti meskipun diserang dengan pelbagai tohmahan termasuklah saranan ‘tidak masuk akal’ daripada individu seperti Ronnie.
Razali berkata, kenyataan Setiausaha DAP Selangor itu adalah biadap sehingga sanggup mengatakan Pakatan Harapan (PH) tidak perlukan Bersatu.
“Kita juga menyambut baik keputusan DAP untuk merujuk Ronnie Liu ke jawatankuas disiplin parti itu susulan kenyataannya memperlekehkan Tun Dr.Mahathir dan mengatakan PH tidak memerlukan Bersatu”, tegasnya.
Setiauaaha Organisasi DAP Loke Siew Fook berkata, tindakan Liu itu satu tindakan “sabotaj” yang serius untuk menjejaskan kestabilan dan memecahkan perpaduan dalam Kerajaan PH.-pr/BNN