KENINGAU : Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Keningau hari ini meminta Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) Dato’ Salahudin Ayub dan Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Datuk Mazlan Aliman memberi penjelasan kepada kira-kira satu juta ahli peladang selaku pemegang SAHAM dalam Pertubuhan Peladang (PP) di seluruh Malaysia berhubung tindakan mereka dalam mengendalikan PP.
Pengerusinya Encik Alexsius Paulus berkata, beliau dan ahli-ahli peladang di PPK Keningau ingin tahu di sebalik perlantikan dua Ahli Jemaah Pengarah (AJP) di PPK oleh Menteri MOA yang kemudiannya melantik lagi mereka sebagai Pegawai Pembangunan Peladang Nafas.
“Saya di fahamkan Pegawai Pembangunan Peladang Nafas untuk Sabah ini dibayar gaji hingga RM5 ribu sebulan. Jika ini benar dan dikalikan dengan 2 orang, maka Nafas perlu membayar RM10 ribu sebulan, dan perbelanjaan untuk setahun ialah RM120 ribu, yang belum termasuk lain-lain perbelanjaan”, katanya dalam satu kenyataan.
Dua orang AJP PPK lantikan Menteri MOA ialah Encik Abu Huzaifah Kamal (PPK Tuaran) dan Addy Samsudin ( PPK Putatan). Mereka turut dilantik sebagai Pegawai Pembangunan Peladang Nafas untuk negeri Sabah.
Katanya, sebagai seorang pemegang saham di PP dan setiap tahun sebagai perwakilan PPN Sabah ke Mesyuarat Agong Tahunan Nafaf, beliau mengharapkan setiap tahun Nafas akan beroleh keuntungan yang banyak dan boleh membayar dividen kepada kami selaku pemegang saham.
“Tetapi jika Nafas terpaksa berbelanja untuk perkara yang tidak sepatutnya, sehingga menjelaskan pendapatan Nafas, maka yang akan menanggung kerugian adalah kami selaku pemegang saham.
“Saya menyokong kenyataan Haji Rahman Kasim Pengerusi PPK Lahad Datu, Haji Abd Rahim Oting AJP PPN Sabah, Hj Muhamad Said (AJP PPK Putatan) dan Dr Juanis Yajuni (Pengerusi PPK Tambunan) mengenai perlantikan dua orang AJP PPK oleh Menteri MOA dan kemudian melantik lagi mereka sebagai Pegawai Pembangunan Peladang Nafas.
“Justeru Salahuddin Ayub dan Mazlan Aliman perlu memberi penjelasan kepada ahli-ahli peladang di seluruh Malaysia berhubung perlantikan tersebut yang mengakibatkan Nafas terpaksa menanggung gaji mereka setiap bulan”, tegasnya.
Alexsius berkata, Menteri MOA dan LPP sepatutnya sedar dan maklum bahawa Nafas adalah milik ahli-ahli peladang menerusi saham mereka daripada PPN dan PPK.
Beliau menegaskan, Nafas bukan agensi kerajaan seperti GLC yang lain. Kerajaan, MOA atau LPP tidak memiliki sebarang saham dalam Nafas, PPN dan PPK.
“Menteri MOA dan Pengerusi LPP sepatutnya tahu dan faham. Dan tidak membuat lantikan sesuka hati menggunakan kuasanya selaku Menteri untuk kepentingan politiknya”, tegasnya.-pr/BNN