Pimpinan PH perlu kaji punca kekalahan di Tanjung Piai

0
Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor
KOTA KINABALU:  Pimpinan Pakatan Harapan (PH) terutama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mesti menyelidiki dan mengkaji sebab-sebab kekalahan calonnya dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, Johor.
Ketua Pimpinan BERSATU Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata,  kekalahan yang mengejutkan itu pastinya  bersebab.
“Mesti ada sesuatu yang rakyat tidak puas hati  terhadap pentadbiran Kerajaan PH  hari ini, bukan sahaja di peringkat  negeri Johor, malah  di peringkat Kerajaan Pusat, mungkin termasuk isu-isu mengenai janji-janji  Pilihan Raya Umum (PRU) 14 yang  belum tertunai.
“Pada masa yang sama PH tidak boleh memandang ringan  kerjasama diantara parti-parti pembangkang  melalui Muafakat Nasional (MN) yang melibatkan PAS dan UMNO”.
“Natijahnya  kerjasama diantara UMNO dan PAS  mempunyai kesan terhadap keputusan PRK Tanjung Piai”, katanya dalam kenyataan ketika mengulas kemenangan calon BN , Wee Jeck Seng di PRK Tanjung Piai.
Hajiji yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)  Sulaman bagaimanapun berkata, kekalahan calon PH di Tanjung Piai tidak memberi kesan dan impak kepada  perkembangan dan kekuatan BERSATU di Sabah.
Katanya, ini kerana  isu-isu politik di Sabah adalah berbeza  dan  berlainan dengan isu-isu di Semenanjung Malaysia.
“BERSATU Sabah akan terus berkerja keras, mendekati dan berkhidmat kepada rakyat negeri ini.
“BERSATU Sabah akan terus  berkembang dan  kuat di Sabah menerusi penyertaan dan sokongan oleh rakyat Pribumi negeri ini termasuk golongan muda”, tegasnya.-pr/BNN