KOTA KINABALU: Kerajaan perlu membantu Madrasah Tahfiz al-Yatama Yakob Khan di Membakut kerana pusat itu berjaya melahirkan ramai juara tahfiz negeri, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Membakut, Datuk Haji Mohd Arifin Mohd.Arif.
Katanya, pusat itu selain berjaya melahirkan johan Pertandingan Tahfiz Peringkat Negeri setiap tahun.
Malah, mewakili Sabah ke pertandingan Kebangsaan sejak 3 tahun dan juga pertandingan hafazan peringkat negeri.
“Saya memohon kerajaan membantu pusat tahfiz ini kerana ia sentiasa melahirkan juara tahfiz negeri. Khasnya mengambil alih sebagai penaja bekalan harian pelajar yang selama ini atas usaha individu, orang ramai serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO)”, katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahas Belanjawan Negeri Sabah Tahun 2020 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.
Mohd.Arifin juga memohon agar Klinik Kesihatan Membakut dinaik taraf menjadi Hospital Daerah.
“Rakyat Membakut berharap Kerajaan Negeri akan mengusul kepada Kerajaan Pusat kerana sebelum ini klinik itu telah tersenarai untuk pembaikan”, katanya.
Beliau menggesa kerajaan melipatgandakan usaha bagi membantu melahirkan usahawan muda burung memandangkan potensi ternakan burung walid.
Katanya, ianya boleh dijalankan menerusi kerjasama diantara Kementerian Belia dan Sukan dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).
Selain itu katanya, usaha juga perlu dilakukan bagi mewujudkan sawah padi pelancongan, pusat bersepadu penanaman padi, pemeliharaan ikan dan itek sekaligus jadikan kawasan luar bandar sebagai destinasi pelancongan.
Menurutnya, matlamat itu boleh direalisasikan menerusi kerjasama diantara Kementerian Pertanian dan Kementerian Pelancongan.
Mohd.Arifin juga mencadangkan agar kerajaan senaraikan projek membina bangunan Mahkamah Anak Negeri dan Mahkamah Syariah di Membakut dalam Rancangan Malaysia Ke 12.
“Pembinaan kedua-dua bangunan itu diperlukan demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat”, tegasnya.-pr/BNN