KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri diharap dapat memberikan keutamaan dan menggunakan sebahagian daripada peruntukkan besar untuk pembangunan infrastruktur bagi tahun hadapan menyelesaikan secara tuntas masalah bekalan air bersih yang menghantui rakyat di negeri ini, termasuk lah di Parlimen Sipitang yang meliputi DUN Lumadan dan DUN Sindumin.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, YB Matbali Haji Musah berkata, rakyat amat mengalu-alukan kesungguhan Kerajaan Negeri menyediakan peruntukkan yang besar untuk pembangunan infrastruktur dan kemudahan awam sebanyak RM1,571.51 juta pada tahun depan.
Jumlah tersebut termasuklah peruntukkan untuk Kementerian Pembangunan Infrastruktur and jabatan serta agensi di bawahnya yang berjumlah RM929.44 juta, serta peruntukkan di bawah kawalan Kementerian Kewangan berjumlah RM530.70 juta.
“Dengan peruntukan yang besar ini, rakyat amat berharap masalah-masalah yang telah lama menghantui rakyat negeri ini seperti masalah bekalan air bersih dapat diatasi secara tuntas, ini termasuklah MASALAH AIR di kawasan Parlimen Sipitang yang meliputi DUN Lumadan dan DUN Sindumin.
“Masalah air seperti tidak ada kesudahan sejak sekian lama. Setiap hari ada sahaja kampung-kampung dalam kedua-dua kawasan DUN iaitu Lumadan, Beaufort dan Sindumin, Sipitang yang tidak menerima bekalan air bersih. Di sesetengah kampung, bekalan air paip tidak datang sehingga seminggu,” kata Matbali semasa membahas Belanjawan Kerajaan Negeri 2020 di Dewan Undangan Negeri di sini.
Menurutnya, sejak akhir-akhir ini rakyat di kedua-dua DUN ini semakin marah apabila bekalan air sering terputus dan terganggu akibat kerja-kerja pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo oleh kontraktor yang dilantik oleh Kerajaan.
“Pekerja kontraktor Lebuh Raya Pan Borneo ini bukan sahaja sering menyebabkan saluran paip pecah, malah mereka membiarkan saluran paip yang pecah tu tidak dibaiki untuk tempoh beberapa hari.
“Keadaan ini bukan sahaja menyebabkan Jabatan Air Sabah mengalami kerugian, malahan orang kampung juga menjadi mangsa apabila tiada bekalan air sampai ke rumah mereka untuk beberapa hari. Akibatnya, Wakil Rakyat yang menjadi sasaran orang kampung meluangkan perit payah dan derita mereka akibat tiada air.
“Masalah air di kawasan Beaufort, Sipitang dan Sindumin ini bukan sahaja berlaku di kampung-kampung, malah berlaku dalam kawasan pekan, di sekolah-sekolah sehingga menyukarkan dan kadang-kadang boleh menyebabkan kerugian akibat ada premis-premis perniagaan tidak dapat beroperasi,” katanya.
Matbali memohon Kerajaan Negeri, khususnya Kementerian Pembangunan Infrastruktur, agar memberikan keutamaan dalam Belanjawan 2020 Negeri Sabah, mencari jalan penyelesaian kepada isu air yang menghantui penduduk di sekitar daerah Beaufort dan Siptang, sejak sekian lama.
“Mungkin ada baiknya pemberian tangki air kepada penduduk kampung yang sering terjejas masalah air diteruskan,” katanya, sambil menambah dengan adanya tangki itu penduduk kampung dapat menyimpan air untuk kegunaan semasa berlakunya gangguan bekalan air.
Antara kampung-kampung yang sering menghadapi masalah air dalam kawasan DUN Lumadan ialah Kampung Suasa, Kg. Lago, Kg Padas Damit, Bintuka, Bangkalalak dan Mentulud.
“Jabatan Air juga perlu memberi notis makluman gangguan air mengikut tarikh dan masa yang tepat dan bukannya selepas 3-4 hari tiada air baru keluarkan notis pemakluman.
“Selain itu, kualiti air bersih juga perlu dijaga kerana penduduk di kawasan Sipitang dan Sindumin sering menerima air yang warnanya bukan jernih putih, sebaliknya berwarna seperti air sungai yang berlumpur. Perlu diingatkan bahawa pengguna membayar setiap titik air yang dibekalkan oleh Jabatan Air,” tambahnya.
Mengenai masalah jalan raya, Matbali mengalu-alukan dan berterima kasih kepada Kerajaan Pusat dan Negeri kerana membina Lebuhraya Pan Borneo Sabah yang menelan belanja berbilion ringgit untuk kemudahan dan keselesaan rakyat negeri ini, di mana projek tersebut kini dalam pembinaan dan akan mengambil masa beberapa tahun lagi untuk disiapkan.
“Saya ingin menyentuh pakej projek itu dari Sindumin di Sipitang ke Beaufort yang kini sedang rancak pembinaannya. Sebahagian kerja-kerja pembinaan tersebut dibuat dengan bergandingan atau di sebelah-menyebelah dengan Jalan Beaufort-Sindumin yang sedia ada. Jajaran jalan ini dahulunya agak selesa digunakan oleh pengguna jalan raya termasuk pengguna daripada negeri dan negara jiran kita, iaitu Sarawak dan Negara Brunei Darussalam.
“Malangnya, Jalan Beaufor-Sindumin ini yang dahulunya cantik molek kini rosak, berlubang yang agak besar di sana sini, berlumpur dan air bertakung di sana sini semasa musim hujan, sehingga sukar dilalui.
“Jalan tersebut yang digunakan oleh lori-lori dan kenderaan berat milik kontraktor Pan Borneo, yang telah menyebabkan jalan tersebut bertambah parah dan teruk. Jalan Beafort-Sindumin ini kini juga terbiar, tidak diselenggara, sehingga menyebabkan banyak berlaku kemalangan. Kenderaan mengalami kerosakan, selain tayar mereka pancit, rem kereta rosak disebabkan terlanggar lubang-lubang yang ada di sepanjang kira-kira 45KM jalan persekutuan tersebut.
“Lebih menyedihkan lagi ialah pada kira-kira jam 10.30 malam, 3 November yang lepas, jalan yang rosak itu telah meragut nyawa seorang pemuda, apabila berlaku kemalangan di KM25, Jalan Beaufort-Sipitang, di Kg Lingkungan,” katanya.
Beliau berkata Kerajaan juga diperlekehkan, apabila orang kampung atau pengguna jalanraya telah menanam pisang di lubang-lubang besar atas jalan raya tersebut.
“’Budaya Tanam Pisang’ di jalan raya yang berlubang ini bertujuan untuk membuka mata pihak berwajib, selain sebagai tanda protes rakyat terhadap pihak bertanggungjawab yang gagal menyelenggara jalan raya itu, sehingga menyebabkan keadaannya amat teruk dan menyedihkan.
“Rakyat bertambah marah apabila aduan mereka berhubung kerosakan jalan kepada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan kontraktor Pan Borneo tidak dilayan dan tidak dipeduli.
“Kerja-kerja pembinaan Lebuhraya Pan Borneo juga menyebabkan banyak jalan masuk ke kampung-kampung dan juga parit-parit yang terletak di jajaran laluan itu tertimbus sehingga sukar dilalui, walaupun ada jalan alternative dibina. Parit-parit tertimbus oleh tanah-tanah sehingga menyebabkan ianya tersumbat, dan ini telah menyukarkan laluan air semasa musim hujan.
“Akibatnya rumah-rumah yang terletak berhampiran kawasan parit ditenggelami air. Walaupun penduduk kampung telah meminta pihak kontraktor membuka laluan air, namun permintaan mereka sering tidak dilayan. Begitulah sikap degil kontraktor Lebuhraya Pan Borneo sehingga menyebabkan kemarahan orang-orang kampong,”katanya, sambil menambah antara kampung-kampung yang terjejas dalam kawasan DUN Sindumin ialah Kg Sri Menanti, Kg Bahagia, Kg Kawang Skim dan Kawasan R&R Sindumin, dengan masaah air bertakung dibawah bangunan rumah.
Matbali mengesa Menteri Pembangunan Infrastruktur Negeri dan Pengarah JKR agar turun padang meninjau sendiri keadaan Jalan Beaufort-Sindumin yang memerlukan perhatian, pembaikan dan penyelenggaraan segera.
“Ini kerana pembinaan Lebuhraya Pan Borneo perlu mengambil masa kira-kira 3 tahun lagi untuk disiapkan…justeru, perlukah 3 tahun juga untuk pengguna jalan raya Beaufort-Sindumin melalui jalan teruk seperti itu, akibat ianya tidak terurus oleh kontraktor Lebuhraya Pan Borneo dan JKR?” tegasnya.
Matbali juga menyambut baik dan berterima kasih kepada Kerajaan Pakatan Harapan (PH) kerana membina projek *Sarawak-Sabah Link Road (SSLR)*, jalan raya berturap pertama yang menghubungkan kawasan pedalaman Sarawak dan Sabah, sejak pembentukan Malaysia pada tahun 1963.
Beliau berkata Menteri Kerja Raya, YB Baru Bian, telah melancarkan projek tersebut, yang dianggarkan bernilai RM5.2 billion dan mengambil masa pembinaan selama enam hingga sepuluh tahun, pada 5 November 2019 yang lalu di Lawas, Sarawak.
SSLR ini, yang merupakan jalan perhubungan darat pertama menghubungkan Sarawak dan Sabah tanpa melalui negara Brunei dan akan menghubungkan 14 bandar utama di kawasan pedalaman kedua-dua negeri dengan panjang keseluruhan jajaran 425KM, sudah pastinya memudahkan perjalanan pengguna jalan raya yang tidak perlu melalui pemeriksaan keselamatan sempadan di pos kawalan Imigresen sebanyak lapan kali sekiranya menggunakan jajaran jalan pantai sedia ada dan jajaran Lebuhraya Pan Borneo.
“Walaupun pelaksanaan projek SSLR akan mengambil sedikit masa untuk disiapkan, salah satu jajaran tu dari Lawas ke Kampung Pa’ Berunut, Sarawak, dan kemudiannya ke Long Pasia, Sipitang yang mana sudah tentu ini merupakan berita baik kepada penduduk di kawasan tanah tinggi di Sipitang kerana projek ini juga akan meningkatkan tahap keselesaan dan keselamatan kepada pengguna jalan raya.
“Kerana pada masa ini, penduduk di Long Pasia dan kampung-kampung di sekitarnya seperti Long Mio, Kg.Maligan dan lain-lain terpaksa menggunakan laluan jalan balak untuk tujuan perhubungan, termasuk ke Pekan Sipitang.
“Kita berharap penduduk di Kg Long Pasia dan kampung-kampung lain yang berdekatan dengannya akan bersabar kerana jalan raya itu akan memendekkan masa perjalanand disampingmemudahkan ekses jalan ke kawasan sekitarnya. Sudah tentu ini akan memangkin lagi kegiatan ekonomi kerana aktiviti pertanian tempatan juga mampu dikomersialkan,” katanya.
Mengenai cadangan untuk menyerahkan atau menswastakan Penyelenggaraan Jalan-Jalan Persekutuan di negeri Sabah, khususnya dalam Jajaran Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah kepada sebuah syarikat konsesi. (Lintasan Resources Sdn.Bhd.), berikutan penamatan Projek Delivery Partner (PDP) Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah yang telah berkuatkuasa pada bulan September 2019, Matbali bertanya betulkah Perjanjian Novasi masih belum ditandatangani pihak Kerajaan, PDP dan kontraktor Kontrak Pakej Kerja (Work Package Contracts, WPC) sehingga ke hari ini?
“Sekiranya betul masih belum ada perjanjian dimeterai, ianya perlu disegerakan memandangkan kerja penyelenggaraan hanyalah bersifat sementara dan projek Pan Borneo perlu diteruskan dan disiapkan kerana jajaran jalan tersebut adalah pintu masuk negeri Sabah bagi pelancong dari Brunei dan Sarawak dan merupakan satu-satunya laluan penduduk Beaufortke Sindumin,” katanya.
Matbali juga meminta agar Kerajaan memberikan peruntukan yang lebih dan harus disalurkan bagi membantu meningkatkan potensi pelancongan alam sekitar di kawasan luar bandar seperti di Kg Weston, Kg Bintuka, Kg Keramis (Suasa) dan Kg Gerama (Gadong), di samping membantu mempromosikan potensi tempat-tempat ini kepada pelancong asing, khususnya pelancong dan peminat alam sekitar yang indah.
Kawasan DUN Lumadan dan DUN Sindumin begitu senonim dengan pelancongan, di mana terdapat tempat-tempat pelancongan yang sangat berpotensi untuk diterokai dan dibangunkan sebagai pusat pelancongan di bahagian pedalaman negeri ini.
“Sebagai contoh, Bintuka dalam DUN Lumadan, yang terkenal suatu ketika dahulu sebagai kawasan pelancongan suatu, kerana mempunyai Monyet Belanda dan Kelipi-Kelip, selain merupakan syurga bagi kaki pancing. Tetapi malangjnya, aktiviti pelancongan di Bintuka kini seakan-akan “mati” kerana kurangnya aktiviti promosi yang dijalankan dan dibantu oleh Kerajaan Negeri. Saya berharap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar dapat membantu memajukan semula aktiviti pelancongan di kawasan Bintuka sempena dengan Tahun Melawat Malaysia 2020,” ujarnya.
Matbali juga menyarankan agar Kerajaan Negeri mewujudkan “Zon Perindustrian” yang pelbagai di setiap daerah bagi membantu meningkatkan daya saing pekerjaan dan pembangunan di kesemua daerah.
Ini selaras dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) yang telah dilancarkan oleh Kerajaan baru-baru ini, yang bertujuan untuk merapatkan jurang pembangunan di antara daerah-daerah yang begitu ketara khususnya di kawasan luar bandar Sabah.
Selain daripada itu, beliau juga berharap masalah kelewatan pembayaran elaun ketua-ketua masyarakat akan dapat diatasi dengan segera, kerana mereka telah menjalankan tugas yang diamanahkan oleh Kerajaan.
“Kerajaan Negeri telah melantik pemimpin akar umbi sebagai mata dan telinga kerajaan di peringkat bawah seperti Ketua Kampung (KK) dan MPKK. Namun, terdapat rungutan bahawa ramai dikalangan mereka masih belum menerima bayaran elaun. Kita berharap ini dapat diselesaikan dengan segera,” katanya.
Beliau juga berharap keutamaan untuk mendapatkan bantuan golongan rakyat termiskin membina rumah baru dibawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) diberikan kepada golongan yang benar-benar memerlukan dan bukannya kepada individu tertentu yang tidak layak, tetapi diberikan kerana mereka adalah penyokong parti kerajaan.
Usaha Kerajaan membantu golongan miskin tegar dan miskin di Sabah melalui program perumahan PPRT amat dialu-alukan oleh semua pihak, kerana sekurang-kurangnya nasib golongan tersebut terbela, katanya, sambil menambah program tersebut ini merupakan pendekatan terbaik kerajaan membantu golongan rakyat termiskin memiliki rumah sendiri yang lebih selesa.
“Rakyat menaruh harapan yang tinggi terhadap Kerajaan pada hari ini kerana slogan “Sabah Ubah”. Diharapkan bukan sahaja tinggal slogan, tetapi perlu diterjemahkan dalam bentuk tindakan, kerana rakyat mahu melihat hasil daripada “Sabah Ubah”,” katanya.-pr/BNN