KOTA KINABALU: Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor bersama kepimpinan BERSATU Negeri, bahagian, Srikandi, Armada dan telah menghadiri Taklimat Pemilihan dan Persidangan BERSATU Peringkat Negeri Sabah di Grand Borneo Hotel, Kota Kinabalu, hari ini.

Pemilihan peringkat cawangan BERSATU akan bermula 25 Januari 2020 hingga 1 Mac 2020. Sementara pemilihan peringkat bahagian akan diadakan pada 4 April 2020.

Dalam ucapannya, Hajiji mengingatkan kepimpinan BERSATU bahagian agar memastikan proses pemilihan berjalan mengikut peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh ibu pejabat parti.

“Kita perlu mengurus pemilihan peringkat cawangan dan bahagian dengan baik dan ahli-ahli yang berhak jangan dinafi hak mereka dalam proses pemilihan”, tegasnya.

Setiausaha Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) BERSATU, Datuk Seri Zulkifli Alwi telah memberi taklimat proses pemilihan dan persidangan. Sementara Bahagian Keahlian Ibu Pejabat BERSATU juga memberi taklimat mengenai Sistem Pengurusan Keahlian.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua BERSATU Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, Setiausaha BERSATU Negeri, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee, Bendahari BERSATU Negeri, Datuk Haji Mohd.Arifin Mohd.Arif, Ketua Penerangan BERSATU Negeri, Encik Khairul Firdaus Akbar Khan, Ketua Armada BERSATU Sabah, Mohd Isquzawan Datuk Arsit, Timbalan Srikandi BERSATU Sabah, Datuk Amisah Yasin dan Pengarah Strategi dan Pilihanrya BERSATU Sabah, Datuk Seri Panglima Lajim Haji Okin.-pr/BNN