KOTA KINABALU: Orang ramai dipelawa menyertai pertandingan menyanyi KPD Idols, pertandingan memasak MasterChef KPD, pertandingan Beyblade dan pertandingan Car Show-Off bertempat di Kompleks Pemasaran KPD, Tanjung Lipat pada 14-15 Disember ini.
Para penggemar makanan juga berpeluang menyaksikan demonstrasi pastri oleh Sensei Norhani Aling dari Pusat Latihan Belia KPD-Oisca Tenom dan demonstrasi masakan berasaskan produk KPD oleh Chef Pison Jaujip dari Ropuhan Di Tanak Wagu.
Acara-acara tersebut adalah di antara beberapa program menarik anjuran Korporasi Pembangunan Desa yang akan berlangsung di Tamu Besar KPD sempena Perayaan Krismas ini.
Finalist Grand Malaysia 2019, Velma Eve Victorianus Golingai juga akan membuat penampilan khas di program tersebut.
Masa tamu besar KPD pada 14 Disember ialah dari pukul 6.00 pagi hingga 5.00 petang, dan pada 15 Disember ialah dari pukul 6.00 pagi hingga 1.00 petang.
Para pemain Beyblade berpeluang mempamerkan skil permainan masing-masing dalam dua kategori pertandingan Beyblade iaitu terbuka dan bawah 12 tahun.
Acara-acara menarik lain sempena Tamu Besar Krismas KPD 2019 ialah persembahan Carolling, pertandingan mewarna kanak-kanak dan cabutan bertuah.
Para pengunjung tamu berpeluang untuk membeli pelbagai produk keluaran KPD dengan harga berpatutan seperti madu-madu Potiukan (wild honey), Tropical dan Trigona (kelulut), Teh Moringa Borneo, ayam kampung hidup serta ayam pedaging segar dan beku.
Produk-produk keluaran KPD yang lain adalah susu kambing segar, ais krim susu kambing pelbagai perisa, buah kelapa pandan dan cendawan.
Selain itu, pelbagai jenis sayuran, buah-buahan dan hasil-hasil pertanian tempatan yang lain juga akan dijual di tamu besar tersebut.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai Tamu Besar KPD boleh menghubungi pejabat KPD di talian 088-291388, 291376, Norlaili Nordin 013-8040082 dan Audrey J. Disimond 014-8010391.-pr/BNN