KOTA KINABALU: Orang ramai dipelawa menyertai pertandingan menyanyi KPD Idols, pertandingan memasak MasterChef KPD, pertandingan Beyblade dan pertandingan Car Show-Off bertempat di Kompleks Pemasaran KPD, Tanjung Lipat pada 14-15 Disember ini.
Bagi menggalakkan penyertaan orang ramai dalam aktiviti-aktiviti berkenaan, penganjur membuat perubahan masa tamu besar KPD pada hari-hari tersebut iaitu dari pukul 7.00 pagi hingga 5.00 petang.
Para penggemar makanan berpeluang menyaksikan demonstrasi pastri oleh Sensei Norhani Aling dari Pusat Latihan Belia KPD-Oisca Tenom dan demonstrasi masakan berasaskan produk KPD oleh Chef Pison Jaujip dari Ropuhan Di Tanak Wagu.
Selain penampilan khas Finalist Grand Malaysia 2019, Velma Eve Victorianus Golingai, acara-acara lain ialah persembahan Carolling, pertandingan mewarna kanak-kanak dan cabutan bertuah.
Acara-acara tersebut adalah di antara beberapa program menarik anjuran Korporasi Pembangunan Desa yang akan berlangsung di Tamu Besar KPD sempena Perayaan Krismas ini.
Para pemain Beyblade berpeluang mempamerkan skil permainan masing-masing dalam kategori terbuka dan bawah 12 tahun.
Para pengunjung tamu berpeluang membeli pelbagai produk keluaran KPD dengan harga berpatutan seperti madu liar (potiukan), madu tropika (pomosuon) dan madu trigona (kelulut), Teh Moringa Borneo, ayam kampung hidup serta ayam pedaging segar dan beku.
Produk-produk KPD yang lain adalah susu kambing segar, ais krim susu kambing pelbagai perisa, buah kelapa pandan dan cendawan.
Pelbagai jenis sayuran, buah-buahan dan hasil-hasil pertanian tempatan yang lain juga akan dijual di tamu besar tersebut.
Orang ramai yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai Tamu Besar KPD, boleh menghubungi pejabat KPD di talian 088-291388, 291376, Noraili Nordin 013-8040082 dan Audrey J. Disimond 016-8012305.-pr/BNN