KOTA KINABALU: Kerajaan Warisan-Pakatan Harapan mengeluarkan kenyataan tidak benar dengan berniat menjatuhkan nama baik bekas Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.
Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Azis Jamman menuduh Pairin terlibat dalam membuat keputusan untuk mengeluarkan pas sementara bagi pendatang tanpa izin, sambil menambah ia adalah sebahagian daripada cadangan di bawah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai kehadiran pendatang tanpa izin di Sabah.
“Beliau (Pairin) bercakap benar apabila mengatakan bahawa idea Pas Sementara Sabah (PSS) Sabah yang mencentuskan kontroversi itu bukannya datang dari RCI. Tidak ada di dalam laporan RCI, ataupun cadangan, yang menyatakan pemberian Pas Residen kepada warga asing,” tegas Naib Presiden Parti Bersatu Sabah Datuk Daniel Kinsik.
Malahan, beliau berkata cadangan utama adalah untuk mengusir pendatang tanpa izin ke negara masing-masing dan mengeluarkan Kad Pengenalan baru (IC) untuk penduduk asal Sabah sebagai sebahagian daripada usaha untuk mengusir pendatang tanpa izin dan pemegang IC palsu dari Sabah.
“Kami percaya ini adalah lebih penting daripada memberikan pas kepada orang asing, kerana ia boleh diterjemahkan sebagai membenarkan kehadiran mereka di negeri ini,” katanya.
Menjawab kenyataan Azis baru-baru ini, Kinsik berkata sekiranya cadangan tersebut wujud, ianya dinyatakan oleh Jabatan Pendaftaran Negara kepada Jawatankuasa Teknikal, bukannya RCI, yang dipengerusikan oleh Kitingan untuk melaksanakan pemberian pas seperti yang didakwa.
Ia hanya satu cadangan yang diajukan kepada Jawatankuasa Bersama untuk mendapatkan keputusan, yang mana ia tidak melibatkan bekas Presiden PBS.
Jawatankuasa Bersama pada ketika itu dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman.
Tambahannya lagi, cadangan JPN itu tidak mempunyai butiran, proses pelaksanaan dan mekanisme sebagai sokongan.
Kinsik menambah bahawa keputusan akhir itu tidak diputuskan oleh Jawatankuasa Bersama Kerajaan Barisan Nasional yang terdahulu, dan menurut makluman awal, perkara itu tidak pernah dibawa ke Kabinet Persekutuan BN untuk mendapatkan keputusan.
“Berdasarkan maklumat ini, kerajaan Warisan-PH sebenarnya yang memutuskan dan meluluskan PSS. Oleh itu, adalah salah dan boleh menimbulkan kekeliruan untuk mengatakan ia adalah cadangan RCI, sedabhkan RCI telah tamat tempohnya, dan cadangan itu tidak pun dinyatakan dalam laporan RCI.
“Kami menggesa Azis supaya berhenti memutar-belitkan fakta dan mencari alasan yang tidak berasas untuk PSS, kerana ianya amat mencurigakan dan berbahaya kepada rakyat Sabah. Kami menyeru rakyat Sabah untuk menolak PSS kerana ia akan menjadikan Sabah sebagai negeri pendatang tanpa izin,” kata Kinsik.-pr/BNN