KOTA KINABALU: Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) Datuk Salahuddin Ayub sepatutnya memberi fokus memperkasa dan memajukan jabatan dan agensinya dibawah kementeriannya, kata Datuk Hj Jaimin Samitah
Beliau berkata, perkara itu sepatutnya menjadi agenda utama beliau setelah dilantik menerajui MOA oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
“Beliau sepatutnya berusaha mengemudi kementerian dan agensinya dengan baik agar jabatan dan agensi tersebut dapat membantu warga petani, penternak dan nelayan dengan lebih berkesan dan berdaya maju.
“Malangnya itu tidak dilakukan oleh Menteri MOA. Apa yang dilakukannya ialah melantik ahli-ahli Parti Amanah sebagai Ahli Jemaah Pengarah (AJP) di Pertubuhan Peladang (PP).
“Sedangkan PP sama ada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) PP Negeri (PPN) dan PP Kebangsaan (NAFAS) bukan agensi MOA atau syarikat milik kerajaan (GLC)”, katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, Salahuddin sedar dan maklum bahawa PP adalah milik mutlak ahli-ahli peladang seluruh negara yang berjumlah hampir 1 juta orang.
Datuk Jaimin berkata, Menteri MOA itu juga sedar dan tahu bahawa MOA atau agensinya Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) tidak memiliki sebarang saham dalam PP.
Menurutnya, dengan menggunakan alasan mentransformasi PP, Menteri MOA melantik ahli-ahli Parti Amanah Negara (Amanah) sebagai Ahli Jemaah Pengarah (AJP) di PP sama ada di peringkat kawasan atau negeri dan Kebangsaan.
“Ini merupakan satu tindakan mempergunakan PP untuk kepentingan politik Parti Amanah. Tindakan Menteri MOA itu hanya merugikan PP kerana terpaksa membayar elaun AJP lantikan Menteri”, tegasnya.
Mengulas Kad Laporan Menteri MOA 2019 yang dikeluarkan oleh kementerian pada 16 Disember 2019, Datuk Jaimin berkata, tiada prestasi yang perlu dibanggakan oleh Salahuddin.
“Berdasarkan penelitian saya, tiada detail perbandingan disertakan bersama sebagai bukti bagi menyokong setiap pencapaian yang didakwa adalah hasil usaha Menteri MOA.
“Saya melihat apa yang telah dilakukan oleh mantan Menteri MOA yang terdahulu pun diambil kira dan didakwa sebagai pencapaiannya”, twgasnya
Datuk Jaimin berkata, kad laporan prestasi Salahuddin itu hanya sekadat mahu menunjukkan kepada rakyat seperti dia buat kerja, tetapi hakikatnya tiada apa yang dilakukannya.
“Menteri Parti Amanah yang tidak cekap ini harus diganti kerana ianya hanya akan merugikan rakyat”, tegasnya.-pr/BNN