SANDAKAN: Beluran yang mencatatkan 12.1% iaitu dua digit insiden kemiskinan di negeri ini perlu diberi keutamaan dalam aspek penyaluran pembangunan infrastruktur, kata Ahli Parlimennya, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee.
Katanya, laporan kajian seperuh penggal Rancangan Malaysia ke 11 yang dibentang di Dewan Rakyat mencatatkan dua daerah di Sabah yang telah mencatat insiden kemiskinan dua digit, iaitu Beluran 12.1% dan Tongod 14.6%.
Beliau berkata, tumpuan harus diberikan terhadap Beluran bagi membolehkan masyarakat luar bandar memperoleh manfaat hasil dasar dilaksanakan oleh kerajaan.
“Terutamanya melibatkan pembangunan infrastruktur asas seperti bekalan air, elektrik, sekolah, klinik serta jalanraya untuk faedah rakyat.
“Justeru, penyertaan masyarakat Beluran dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) diharap menjadi landasan kepada kerajaan untuk terus membela masyarakat luar bandar yang masih memerlukan pembangunan”, katanya.
Beliau berkata demikian kepada media pada Majlis Ramah Mesra “BERSATU” Beluran, Pemimpin Bahagian, Srikandi dan Armada Beluran Sempena Sambutan Krismas dan Tahun Baharu 2020, di sini.
Dalam pada itu, Ronald yang juga Ketua Bahagian BERSATU Beluran optimis jumlah keahlian Bersatu Beluran akan bertambah selepas proses pemilihan parti itu yang dijadual berlangsung pada April depan.
Beliau berkata, ketika ini jumlah keahlian BERSATU Beluran lebih 3,500 orang dan usaha menambah ahli akan dilaksanakan oleh jawatankuasa bahagian, Srikandi serta Armada.
“Ini penting agar BERSATU Beluran bukan sahaja menjadi pelengkap kerajaan, malah menjadi pendokong hasrat kerajaan khususnya dalam menyalurkan pembangunan ke kawasan luar bandar”, tegasnya.
Ronald yang juga Setiausaha Badan Pimpinan BERSATU Negeri berkata, ketika ini BERSATU Beluran mempunyai 29 cawangan melibatkan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Labuk dan DUN Sugut.
Ronald berkata 8 buah lagi cawangan baru sedang dibentuk dan akan berfungsi sebagai cawangan sah selepas pemilihan parti April ini.
“Ini akan melengkapkan semua cawangan parti di semua Pusat Daerah Mengundi (PDM) di parlimen Beluran”-, tegasnya.
Menurut Ronald respon rakyat terhadap Bersatu di Sabah sangat mengalakkan.
“Terkini hampir 100 ribu ahli telah didaftar oleh semua 25 bahagian Bersatu setakat ini”, tambahnya.-pr/BNN