Ia merupakan siri jelajah ketiga dianjurkan oleh PIBS. Program itu mendapat kerjasama daripada Kolej Kiara dan Kolej Management & Sains University.Timbalan Pengerusi PIBS, Encik Mohd Riduhan Bin Datu Abat telah mengetuai program itu bersama seramai 30 orang pelajar dan kakitangan IPTS serta ahli-ahli PIBS.
Program Jelajah Kasih itu melibatkan pengagihan bungkusan makanan kepada gelandangan dan golongan yang memerlukan di sekitar Bandaraya Kota Kinabalu.
Antara kawasan yang menjadi tumpuan ialah Hospital Queen Elizabeth I, kawasan Kg. Air dan Segama.
Turut serta dalam Program Jelajah Kasih pada malam itu ialah Ketua Eksekutif Kolej Kiara, Dr Hussin Bin Che Pa dan Ketua Pegawai Operasi kolej itu Puan Hajah Anikah Rusda Binti Kamarulzama
Pengerusi PIBS, Datin Suraya Ahmad berkata program itu akan dilanjut pada masa akan datang berikutan sambutan yang amat menggalakkan terutama daripada pihak IPTS.
“Kami amat berbesar hati apabila pihak kolej sendiri yang menawarkan khidmat bakti masyarakat dalam penyediaan makanan.
“Selain menawarkan untuk menggunakan fasiliti yang ada bagi kegunaan program kebajikan atau khidmat bakti kepada masyarakat”, katanya.
Katanya, penyertaan golongan belia dalam program itu amat digalakkan, agar mereka menyedari akan kepentingan program komuniti masyarakat seperti ini.
Beliau juga mengucapkan syukur dan terima kasih kepada pihak IPTS di atas keprihatinan mereka terhadap program kemasyarakatan seperti itu.
Suraya mahu program itu memfokuskan kepada golongan yang kurang berkemampuan seperti penjaga-penjaga pesakit di hospital dan juga pengawal-pengawal keselamatan yang bertugas, selain memberi bantuan kepada gelandangan.-pr/BNN