KOTA KINABALU: Pergerakan Pemuda UMNO Sabah menyifatkan insiden serangan sekumpulan lelaki terhadap rombongan Pemuda UMNO di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) malam tadi sebagai catatan
“titik hitam” dalam sejarah Sabah.
Serangan itu dikatakan dilakukan sekumpulan pentaksud kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Mohd.Shafie Apdal.
Ketua Pemuda UMNO Sabah, Ir. Abdul Aziz Julkarnain berkata, kejadian itu yang berlaku secara terang-terangan menunjukkan kumpulan pentaksub tersebut berani mencabar undang-undang.
“Adakah mereka juga kebal undang-undang? Yang pasti serangan ganas tersebut telah menyebabkan kecederaan kepada salah seorang Pemuda UMNO Sabah yang berusaha menghalang serangan daripada kumpulan pentaksub menjadi lebih buruk.
“Kami ingin memperingatkan anak-anak muda Sabah terutamanya penyokong-penyokong taksub Ketua Menteri, bahawa negeri ini cinta damai dan inginkan kehidupan bermasyarakat yang harmonis dan saling menghormati.
“Sedarlah bahawa dunia sedang melihat kita. Keganasan dan rusuhan di dalam premis Lapangan Terbang sepatutnya tidak berlaku sama sekali”, katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ir. Abdul Aziz berkata, KKIA adalah lapangan terbang yang tersibuk di negara ini, dan sarat dengan pelancong yang datang berbelanja di megeri ini.
Menurutnya, insiden keganasan itu akan menakutkan pelancong dan boleh mencipta persepsi negatif bahawa negeri ini tidak lagi selamat untuk dikunjungi dan akhirnya mereka memilih negeri lain sebagai destinasi pelancongan mereka.
“Ketahuilah bahawa hasil pendapatan negeri kita ini amat bergantung kepada sektor pelancongan dan perkhidmatan berkaitan dengannya, sehingga telah mencatat pulangan sebanyak RM7.7billion atau 40% daripada jumlah pendapatan kita”.
“Majoriti daripada pekerja-pekerja sektor pelancongan ini adalah anak-anak muda Sabah. Kita khuatir keganasan tersebut akan menyebabkan puluhan ribu hilang sumber pendapatan apabila pelancong tidak lagi datang ke negeri ini”, tegasnya.
Beliau mendakwa, insiden semalam seharusnya tidak berlaku sekiranya pihak kerajaan bertindak lebih awal mengekang kejadian tersebut daripada berlaku.
Abdul Aziz berkata, umum mengetahui ugutan-ugutan yang telah dibuat oleh para penyokong taksub Shafie yang telah menjadi viral di media sosial.
Beliau berkata, amat menghairankan kejadian tersebut dibiarkan berlaku tanpa mengambilkira terhadap risiko besar yang bakal menimpa industri pelancongan negeri ini.
“Sedarlah bahawa Kimanis telah bersuara. Mereka mahukan kerajaan yang fokus kepada rakyat. Fokus terhadap cara menangani kos sara hidup rakyat yang semakin menghimpit dan membungkam.
“Sebaliknya perlu fokus terhadap masa depan anak-anak muda terutamanya. Jangan jadikan mereka alat permainan politik taksub kepada kerajaan”, tegasnya.
Sehubungan itu, Pemuda UMNO Sabah menyeru seluruh rakyat Sabah yang cinta damai mengutuk sekeras-kerasnya dan menolak budaya politik taksub ganas.
Pemuda UMNO Sabah juga menggesa pihak Kerajaan segera mengambil tindakan tegas agar budaya politik samseng, ganas dan taksub ini tidak berulang lagi.-pr/BNN