KOTA KINABALU: Berikutan kontroversi Dana Inspirasi Malaysia atau ‘Inspirasiku’ yang sedang dilaksanakan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) kepada para pelajar sekolah dan kokej/universiti Aktivis Masyarakat dan Politik Sabah Kanol Gindol menyeru Kabinet Persekutuan menimbang mewujudkan peraturan baru yang lebih saksama dan tidak membuka ruang kepada eksploitasi dan manipulasi dalam memberi bantuan.

Dalam satu kenyataan akhbar,  beliau berkata adalah lebih baik Kerajaan mewajibkan agar semua bantuan sedemikian kepada grup berpendapatan rendah 40% dari penduduk Malaysia MESTILAH disalur oleh badan bebas agama, bukan oleh agensi, pertubuhan, jabatan berkaitan agama baik Islam, Kristian, Hindu, Buddha dan lain-lain.

Kata nya, ini terutama sekali melibatkan Dana yang sebenarnya adalah Peruntukan dari Kerajaan Persekutuan mahupun Negeri, dan juga dana yang dikutip dari pelbagai bangsa dan agama.

“Sebaik-baik bantuan untuk kumpulan B40 sama ada kepada para pelajar, golongan tua, OKU dan rakyat biasa MESTILAH disalur dan dikendali oleh badan atau autoriti yang non-religion, yang melibatkan pengendali pelbagai bangsa dan agama menjalankan operasi pendaftaran dan penyerahan bantuan.”

Hentikan serta-merta menyalurkan Dana kutipan awam dan kerajaan dengan mempergunakan badan-badan yang berbentuk dan dianggotai agama tertentu sahaja, beliau berkata.

Menurutntya, Malaysia perlu berfikiran panjang untuk masa depan keharmonian pelbagai agama dan bangsa.

“Jangan lagi cuba mendalamkan lagi perasaan syak-wasangka dan menyuburkan lagi peluang pengeksploitasian rakyat dan agama tertentu seolah-olah hanya agama tertentu dapat dan memiliki keupayaan untuk memberikan bantuan kepada yang daif dan memerlukan, walhal Wang dan Dana tersebut adalah wang rakyat kebanyakan.”

“Sebuah Jawatankuasa Khas harus dibentuk bagi menangani isu ini termasuk mengaudit semua bantuan dari dana kerajaan mestilah disalur bukan oleh badan berpautan agama dan dioperasi oleh kumpulan orang yang berpakaian tertentu sahaja.”

Sebaliknya jika badan-badan berpautan agama itu ingin membantu menggunakan wang mereka sendiri, dan ini mestilah dibuktikan oleh badan bebas, maka barulah mereka ini diberi izin memberi bantuan kepada sesiapa mereka sukai, tapi tidak sebelum diaudit sumber pendapatannya, tegas beliau.

“Jika badan itu menerima dana RM1 bilion dari Kerajaan dan kemudian mengisytiharkan saluran bantuan menggunakan wang itu tapi meresapkan rupa-rupa dan pengaruh agama berkenaan dalam penyaluran bantuan maka ini harus dihentikan.”

Negara ini negara sekular, bukan teokrasi agama tunggal, dan segala usaha hendaklah dibuat mengekalkannya dan memperkukuhkan demikian, katanya.-pr/BNN