KOTA KINABALU: Pergerakan Pemuda UMNO Sabah menyifatkan cadangan Perdana Menteri untuk memperkenalkan semula Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sebagai satu langkah ke belakang dan regresif.
Ketuanya Ir. Abdul Aziz Julkarnain berkata, cadangan oleh Tun Dr..Mahathir Mohamad itu yang pernah diperkenalkan pada tahun 2003 sebelum dimansuhkan pada tahun 2010.
Beliau berkata, ratusan juta ringgit telah dibazirkan untuk perubahan besar dan drastik ini pada tahun 2003 tetapi gagal mencapai objektifnya sendiri, terutamanya berkaitan persoalan keadilan sosial dan mutu hidup.
“Dan ini telah membawa kepada siri penolakan terhadap PPSMI sehinggalah ianya telah dimansuhkan pada tahun 2010 kerana kesan yang cukup ketara telah melebarkan jurang ketaksamaan antara pelajar bandar dan pelajar luar bandar; terutamanya yang berkaitan dengan masa depan anak-anak muda ketika itu”.
“Pastinya jurang ketaksamaan ini akan memberikan impak besar kepada pelajar ini apabila mereka menginjak usia dewasa nanti”, katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau menegaskan, mereka akan sentiasa berada dalam keadaan ‘disadvantage’ berbanding pelajar-pelajar bandar yang mempunyai akses kepada sekolah-sekolah terbaik dengan tenaga pengajar yang terbaik, jaringan internet yang lebih baik, kedai-kedai buku yang terbaik dan banyak lagi.
Abdul Aziz optimis, PPSMI adalah dasar pro-Bandar yang boleh menghukum masa depan pelajar-pelajar luar bandar.
Menurutnya, ini akan menjadikan penduduk luar bandar semakin tidak kompetitif dan jaringan keselamatan sosial (social safety net) yang semakin mengecil.
“Akhirnya, untuk jangka masa panjang, ketaksamaan ini melebarkan jurang pemisah dari segi taraf sosio-ekonomi, yang mana majoriti penduduk luar bandar ini adalah kaum bumiputera itu sendiri.
“Maka sebab itu diperkenalkan Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris(MBMMBI) untuk menggantikan Dasar PPSMI pada tahun 2011 dan melalui dasar MBMMBI ini juga turut diperkenalkan Program Dwi-Bahasa dengan memberi pilihan kepada pihak sekolah untuk melaksanakan pengajaran dan pembelajaran bagi mata pelajaran bidang Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris”, tegasnya.
Abdul Aziz berkata, Dasar MBMMBI ini sudah cukup memadai untuk menangani masalah ketidakseimbangan yang wujud dari segi prasarana sediada, sekurang-kurangnya sebagai pengganti kepada PPSMI.
Menurutnya, pendidikan adalah harta yang paling bernilai untuk semua rakyat Malaysia. Untuk mencapai identiti bangsa Malaysia yang maju, progresif dan kompetitif, jurang pemisah yang telah dicipta ratusan tahun ketika zaman penjajahan dahulu haruslah dikecilkan terlebih dahulu.
“Justeru adalah lebih baik untuk kerajaan menggunakan wang berbillion ringgit yang bakal dibazirkan itu (untuk pelaksanaan semula PPMSI) untuk membina lebih banyak sekolah-sekolah Sains berasrama penuh di luar bandar, terutamanya di negeri Sabah, Sarawak, Kelantan dan Terengganu.
“Dengan cara ini, jurang pemisah sosial antara bandar dan luar bandar dapat dikurangkan”, tambahnya.
Abdul Aziz berkata, Pemuda UMNO Sabah bersetuju bahawa penguasaan Bahasa Inggeris adalah sangat penting terutamanya di era ledakan teknologi maklumat dan komunikasi di peringkat global.
Beliau berkata, melalui penguasaan bahasa tersebut membolehkan akses secara terus kepada maklumat dan ilmu pengetahuan yang sering berubah seperti ilmu berkaitan sains dan teknologi seperti perubatan, kejuruteraan, telekomunikasi dan lain-lain.
Menurutnya, adalah lebih baik dan wajar kerajaan menambah masa untuk pembelajaran bahasa Inggeris. Perkenalkan silabus baru iaitu Bahasa Inggeris Untuk Sains & Matematik (BISM) di semua peringkat sekolah seluruh negara tanpa menjejaskan sekali lagi secara drastik proses pembelajaran sedia ada.
“Kegagalan menguasai bahasa Inggeris bukan sahaja akan menyebabkan rakyat sesuatu negara gagal bersaing di pentas antarabangsa, malah akan menyebabkan negara tersebut hilang daya saingnya.
“Penguasaan bahasa Inggeris bukan sahaja berkait rapat dengan survival anak bangsa tetapi ianya juga turut berkait rapat dengan survival negara berhadapan era globalisasi yang cukup kompetitif”, tegas Abdul Aziz.-pr/BNN