KOTA KINABALU : Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Hajah Jamilah Sulaiman hari ini mengisytiharkan keluar daripada parti itu yang telah disertainya Iebih dari 33 tahun.
Beliau yang juga Ketua Bahagian PBS N.28 Sindumin turut melepaskan semua jawatannya dalam parti itu.
Katanya, beliau membuat keputusan itu setelah mengadakan perbincangan dari hati ke hati bersama penyokong dan pendokong setia PBS khususnya di bahagian Sipitang.
“Dengan mengambil kira pandangan dan perjuangan mereka bersama saya dalam PBS selama ini, maka saya mengambil keputusan meletak semua jawatan dalam parti dan mengisytiharkan keluar dari PBS dan berhenti daripada menjadi ahli PBS”
“Saya membuat keputusan ini kerana hilang kepercayaan dengan kepimpinan Presiden PBS, YB. Datuk Seri Panglima Dr Maximus J Ongkili. Beliau seorang pemimpin yang tidak konsisten, tidak berpegang kepada kata-katanya, tidak bertimbang rasa, pilih kasih dan hipokrit.”, katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Berikut adalah jawatan-jawatan yang pernah disandang oleh Jamilah :
1990 – 1994 Ahli Dewan Undangan Negeri N38 Sipitang dan Pembantu Menteri Perkhidmatan Sosial. (semasa era pemerintahan PBS). 2012 – 2018 Ahli Dewan Negara (2 penggal).
*PERINGKAT PBS PUSAT*
1986 – 1992 Naib Ketua Pergerakan Wanita PBS.
1992 – 1994: Ahli Majlis Tertinggi PBS.
1994 – 2000: Naib Presiden PBS.
2000 – 2013: Ketua Pergerakan Wanita PBS.
2013 – 2020: Timbalan Presiden PBS.
*PERINGKAT PBS BAHAGIAN*
1986 – 1992: Ketua Pergerakan Wanita PBS Bahagian.
1992 – 2020: Ketua PBS Bahagian.
Beliau telah bersama-sama dalam perjuangan PBS selama 32 tahun dibawah kepimpinan Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dan 1 tahun 2 bulan dibawah kepimpinan YB Datuk Seri Panglima Dr Maximus.
Jamilah merupakan wanita pertama dipilih menjadi Timbalan Presiden PBS bagi kuota Bumiputera Islam.
Beliau dipilih semula (tanpa ditanding) sebagai salah seorang daripada 3 Timbalan Presiden pada Persidangan Perwakilan Tahunan yang ke 33 pada November 2018. Penyandang Iain ialah Datuk Seri Panglima Radin Malih dan Datuk Dr Yee Moh Chai.
“Memandangkan saya tidak dapat bekerjasama dengan YB. Presiden dan “gengnya” dalam PBS, maka adalah Iebih baik saya keluar dari parti saja”.
“Walaupun amat berat bagi saya untuk mengambil keputusan meninggalkan PBS setelah berjuang bersama parti itu Iebih daripada 33 tahun.
“Pada masa ini saya mahu berehat dari politik untuk sementara waktu dan setakat ini masih belum membuat sebarang keputusan mengenai masa depan karier politik saya”, tambah Jamilah.
*Sementara itu, 17 daripada 18 Ahli Jawatankuasa (AJK) PBS Bahagian Sipitang turut bersama-sama Jamilah beramai-ramai mengisytiharkan keluar dari PBS.-pr/BNN