KOTA KINABALU: Pemuda AMANAH Nasional yakin mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH)yang berlansung esok akan mencapai kata sepakat bagi memastikan transisi dan peralihan kuasa Perdana Menteri (PM) berjalan dengan lancar.
Pemuda AMANAH juga berharap dengan menetapkan tarikh transisi selepas persidangan APEC, tidak menjejaskan keharmonian kerjasama dikalangan parti komponen PH, sekaligus mengekalkan kestabilan kerajaan.
Walau bagaimanapun, Pemuda AMANAH Nasional menggesa agar Majlis Presiden menolak sekeras-kerasnya sebarang bentuk kerjasama dengan UMNO dan PAS agar kepercayaan rakyat terhadap PH tidak terjejas sebagaimana harapan rakyat memberi mandat sewaktu Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14.
Pengarah Komunikasinya, Encik Khairuddin Daud berkata, pergerakan itu mengikuti perkembangan isu peralihan kuasa PM dan melihat cubaan daripada UMNO dan Pas mampu menjejaskan keharmonian dan memecah belahkan PH
“Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi PH telah memimpin kemenangan pakatan itu bersama pemimpin-pemimpin daripada PKR, DAP, Bersatu dan Amanah.
“PH bersetuju mengangkat Tun Dr Mahathir sebagai PM selepas pilihanraya dan beliau bersetuju untuk memastikan transisi dan peralihan kuasa berlangsung selepas persidangan APEC”, katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan ada dakwaan enam pemimpin kanan PH akan mengadakan satu pramesyuarat sebelum berlangsungnya mesyuarat Majlis Presiden PH yang dikatakan akan turut membincangkan mengenai tarikh peralihan kuasa.
Antara enam pemimpin yang disebut akan menyertai pramesyuarat berkenaan ialah Dr Mahathir; Ketua Umum PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden PH, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin; Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.-pr/BNN