PULAU BANGGI, KUDAT : Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang Malaysia (LPP) Datuk Mazlan Aliman melahirkan rasa simpati atas musibah kebakaran yang telah menimpa ahli-ahli peladang di Kampung Perpaduan, Pulau Banggi, setahun yang lalu.
Walau pun kejadian itu telah setahun berlalu, namun kesan musibah tersebut masa dirasai oleh para mangsa. Sebanyak 59 buah terlibat dalam musibah itu.
Kejadian yang berlaku pada 13 Januari 2019 itu telah memusnahkan rumah-rumah penduduk kampung dan menyebabkan mereka terpaksa menumpang di rumah saudara mara, malahan ada yang terpaksa menumpang teduh di dewan terbuka dalam tempoh yang lama.
Mazlan dan rombongan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kudat telah turun padang, melawat dan menyampaikan sumbangan bantuan dari Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) kepada ketua keluarga ahli-ahli peladang yang terlibat dengan bencana kebakaran itu.
NAFAS telah memperuntukkan sebanyak RM20, 000.00 untuk tujuan tersebut.
Mazlan dalam ucapannya meminta pengurusan PPK dan unit peladang supaya mencari jalan kemungkinan ahli peladang di pulau itu dapat melibatkan diri dalam projek pertanian berkelompok seperti projek tanaman ubi kayu dan sebagainya.
Katanya, Fokus LPP bukan sahaja kepada aspek pertanian, tetapi juga kebajikan.
“Mereka juga boleh dicadangkan untuk projek unit secara berkelompok yang dapat memberi pendapatan tambahan sebagai ahli peladang”, tambahnya.
Melalui program Rezeki Tani, beliau berkata, beberapa orang usahawan dari Unit Peladang akan dibantu. Selain Pusat Pengumpulan Hasil Pertanian(PPHP) akan dibangunkan segera.
Pulau Banggi merupakan sebuah pulau yang terletak di timur laut Kudat, Sabah. Pulau ini berkeluasan kira-kira 440.7 kilometer persegi, merupakan pulau yang ketiga terbesar di Malaysia, selepas Pulau Borneo dan Pulau Langkawi.
Terdapat 4 unit peladang di pulau itu dan perjalanan ke Pulau Banggi dari jeti Kudat mengambil masa 45 minit menggunakan bot laju.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Pengarah LPP Negeri Sabah,
Puan Hajah Anita Misuari, Pengerusi PPK Kudat, Encik Mohd khairuddin Daud, Pengarah Bahagian Pengeluaran Usahawan & Pembiayaan LPP, Encik Amir Matamin, Pengurus Besar PPK Kudat, Puan Norhaslizah Umong, Ahli Lembaga LPP, Encik Haris Alimudin dan ketua-ketua jabatan di sekitar Kudat.-pr/BNN