KOTA KINABALU: Pengurusan dan Ahli Jemaah Pengarah (AJP) Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) telah membelanjakan sebanyak RM111,336,585 untuk perbelanjaan operasi dalam tahun 2018, meningkat sebanyak 233% berbanding tahun 2017.

Laporan Penyata Kewangan Nafas 2018 yang diedar kepada para perwakilan.

Perbelanjaan operasi Nafas dalam tahun 2017 hanya sebanyak RM33,390,410.

Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PKK) Pitas, Datuk Ng Loi Tect berkata, peningkatan perbelanjaan operasi Nafas bagi tahun 2018 sebanyak RM77,946,175 amat mengejutkan ahli-ahli peladang seluruh negara.

“Ini merupakan peningkatan perbelanjaan yang luar biasa iaitu lebih daripada 230% berbanding perbelanjaan tahun 2017.

“Bagaimana Pengurusan dan AJP Nafas sekarang ini boleh membelanjakan lebihan yang begitu besar iaitu RM77.9 juta, sedangkan pada Jun 2018, Pendaftar Pertubuhan Peladang telah menggantung Nafas?”, katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ng mengulas Laporan Penyata Kewangan Nafas 2018 yang berakhir pada 31 Disember 2018 yang diedarkan kepada para perwakilan sempena Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) Nafas ke 46, tahun 2019 yang akan diadakan pada 25 Februari 2020.

Penyata kewangan itu telah diluluskan oleh Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang, Azulita Binti Salim selaku Pendaftar Pertubuhan Peladang (PP) dan telah diaudit oleh akauntan bertauliah, Khairuddin Hasyudeen & Razi.

Katanya, peningkatan perbelanjaan operasi itu menunjukkan pengurusan dan AJP Nafas gagal mentadbir institusi itu dengan baik, setelah penggantungan Nafas.

“Ahli-ahli peladang seluruh negara bimbang dengan trand perbelanjaan sedemikian kerana ia akan menyebabkan Nafas mengalami kerugian”, tegasnya.

Sehubungan itu Ng meminta pengurusan dan AJP Nafas memberi penjelasan kepada ahli-ahli peladang seluruh negara berhubung peningkatan perbelanjaan operasi yang luar biasa itu.

Sementara itu menurut Ng, berdasarkan Laporan Penyata Kewangan Nafas 2018, institusi itu telah mencatat kerugian bersih (selepas cukai dan zakat) sebanyak RM23,224,188 berbanding keuntungan sebanyak RM81,569,515 pada tahun 2017.

“Jelas sekali kerugian yang dialami oleh Nafas dalam tahun 2018 adalah disebabkan oleh ketidakcekapan pengurusan dan AJP sekarang”, tegasnya.-pr/BNN