PITAS: Ahli-ahli peladang di Sabah mengalu-alukan pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Malaysia (PM) ke 8
Ahli Jemaah Pengarah (AJP) Pertubuhan Peladang Negeri (PPN), Datuk Ng Loi Tect berkata, ahli peladang negeri ini mengucapkan tahniah dan syabas kepada Muhyiddin yang pernah menjadi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu di atas pelantikan nya.
Katanya, ahli peladang di Sabah yakin dan percaya Muhyiddin merupakan PM yang sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat termasuk para peladang, penternak dan nelayan di negara ini.
Menurutnya, dengan berakhirnya kemelut politik yang melanda negara, ahli peladang berharap PM akan melantik Menteri Kabinet Kerajaan Persekutuan yang betul-betul komited membela nasib dan masa depan rakyat.
“Dalam konteks Menteri yang akan menerajui Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA), ahli-ahli peladang berharap yang dilantik itu adalah pemimpin yang faham dan mengerti akan jerih payah warga peladang.
“Sebaliknya bukan seorang Menteri yang hanya menjadikan Pertubuhan Peladang (PP) sebagai alat untuk kepentingan politik, seperti yang telah dilakukan oleh bekas Menteri MOA semasa Kerajaan Pakatan Harapan dahulu.
“Tindakan Menteri MOA dahulu yang telah melantik ahli-ahli Parti Amanah Negara (Amanah) sebagai AJP dalam PP dan juga Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) telah menyebabkan institusi itu mengalami kerugian yang teruk”, katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau mengulas pelantikan Muhyiddin yang mengangkat sumpah jawatan PM ke 8, hari ini.
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi perkenan pelantikan itu selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.
Ng yang juga Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PKK) Pitas berharap, Kerajaan Baharu dibawah pimpinan Muhyiddin akan membetulkan kerosakan yang telah dilakukan oleh Menteri dari Amanah.
“Terutamanya pencabulan Datuk Salahuddin Ayub dalam PP di tiga peringkat iaitu Nafas, PPN, PPK”.
” Ahli-ahli peladang meminta agar kerajaan menamatkan segera pelantikan yang telah di buat di semua peringkat oleh Mentari Moa tidak sepatutnya, yang kini membebankan PP”.
“Semua pelantikan AJP yang telah dibuat itu hendaklah ditarik balik agar pentadbiran dan pengurusan PP dapat kembali ke landasan asal, demi kepentingan ahli-ahli peladang”, tegasnya.
Ng berkata, sebarang salah laku yang telah dibuat oleh Pengurusan dan AJP Nafas dari Amanah sehingga menyebabkan Nafas rugi lebih RM20 juta pada tahun 2018 hendaklah disiasat dan diambil tindakan.
“Ahli peladang dan rakyat meletakkan harapan yang tinggi ke atas PM ke 8 dalam mengemudi negara ini, agar kesejahteraan rakyat menjadi paksi pemerintahan Kerajaan Baharu”, tegasnya.-pr/BNN