KUALA LUMPUR: Ahli-ahli peladang menyambut baik Kabinet baharu Kerajaan Persekutuan yang diumumkan oleh Perdana Menteri (PM ke 8), Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada Isnin.

Datuk Ronald Kiandee

Ahli Jemaah Pengarah (AJP) Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) Datuk Mohd.Nazri Abdullah berkata, barisan anggota kabinet baharu itu meliputi kombinasi pemimpin lama dan baru yang pernah menerajui Kabinet Persekutuan dahulu.

Menurutnya, barisan kabinet itu juga telah mengambil kira masyarakat majmuk negara ini terutama dalam kalangan bukan Islam termasuk Sabah dan Sarawak.

“PM telah menyusun atur anggota kabinetnya dengan begitu teliti dan berani. Malah ramai dikalangan mereka yang dilantik terdiri daripada kalangan tokoh yang begitu berpengalaman dan sebahagiannya pernah menerajui kabinet kerajaan dahulu”, katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, ahli-ahli peladang yakin dan percaya anggota kabinet baharu itu akan bekerja keras dalam membela nasib rakyat negara ini, termasuk warga peladang yang memerlukan pembelaan kerajaan.

Mohd.Nazri berkata, yang lebih utama ketika ini adalah menyelesaikan masalah-masalah rakyat berikutan kelembapan ekonomi dan tularnya jangkitan penyakit Coronavirus.

“Masalah kos sara hidup, ekonomi, gejala sosial, isu perpaduan, pembangunan insan dan manusia dan lain-lain harus menjadi fokus utama barisan kabinet Kerajaan Perikatan Nasional (PN)”, tegasnya.

Mohd.Nazri turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada Ahli-ahli Parlimen dan tokoh-tokoh profesional yang telah dilantik sebagai Menteri dan Timbalan Menteri dalam kabinet Muhyiddin.

Mohd Nazri juga amat mengalu-alukan pelantikan sahabat baiknya Ahli Parlimen Beluran (Sabah), Datuk Seri Dr.Ronald Kiandee sebagai Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MOA) yang baharu.

“Ahli-ahli peladang yakin dan percaya Ronald mampu membela nasib golongan peladang, penternak dan nelayan di negara ini”, katanya.

Mohd.Nazri yang juga AJP Pertubuhan Peladang Negeri Sabah (PPNS) juga optimis Ronald akan melakukan sesuatu yang positif bagi membaiki keadaan Nafas, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Pertubuhan Peladang (PP).

“Termasuklah menambaik/memulihkan Nafas, Pertubuhan Peladang Negeri- Negeri dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di seluruh Negara”, tegasnya.-pr/BNN

Datuk Mohd.Nazri Abdullah