PAHANG: Perdana Menteri (PM) ke 8, Tan Sri Muhyiddin Yassin berjaya membentuk Kabinet Kerajaan Persekutuan yang mantap dan berintegriti, kata Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Rompin, Dato Haji Md Rusli Ismail.
Beliau yang mengalu-alukan pelantikan anggota kabinet baru Kerajaan Persekutuan itu yakin, kerajaan dapat memberi fokus terhadap masalah dan keperluan rakyat disamping menghadapi cabaran ekonomi global yang semakin merudum.
Katanya, kombinasi anggota kabinet yang dianggotai oleh tokoh politik, teknokrat dan pakar dalam bidang tertentu, amat dialu-alukan oleh rakyat.
“Ahli-ahli peladang mengalu-alukan pelantikan barisan kabinet baharu Kerajaan Persekutuan, termasuk Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MOA) Datuk Seri Dr Ronald Kiandee”, katanya dalam kenyataan, hari ini.
Md Rusli turut menggesa Kerajaan Perikatan Nasional (PN) menamatkan Ahli Jemaah Pengarah (AJP) lantikan politik di semua Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) seluruh negara.
Katanya, AJP lantikan politik itu terdiri daripada pemimpin dan ahli Parti Amanah Nasional (Amanah) yang kini adalah parti pembangkang di peringkat pusat berikutan tumbangnya Kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Katanya, AJP -AJP berkenaan telah dilantik oleh bekas Menteri Pertanian, Datuk Salahuddin Ayub yang juga Timbalan Presiden Amanah”.
“Pelantikan AJP ini di PPN dan PPK telah membebankan Pertubuhan Peladang kerana perlu membayar elaun mereka”.
“PPN dan PPK adalah milik ahli selaku pemegang saham di PP, justeru adalah tidak wajar duit PP digunakan untuk membayar elaun mesyuarat AJP lantikan politik yang terdiri daripada ahli-ahli Amanah”.
“Pembayaran elaun AJP lantikan politik itu hanya merugikan PPN dan PPK seluruh negara. Justeru ianya perlu ditamatkan segera”, tegasnya.
Md Rusli berkata, Kerajaan PN khususnya Menteri MOA, Ronald Kiandee perlu tegas membetulkan keadaan di PPN dan PPK.
Menurutnya, Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Datuk Mazlan Alimat dan konco-konconya dalam LPP juga perlu ditamatkan perkhidmatan mereka berikutan pertukaran kerajaan.
“Disebabkan ketidak cekapan mereka mengurus dan mentadbir LPP dan juga Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) sehingga menyebabkan Nafas mengalami kerugian yang besar”, tegasnya.-pr/BNN