PITAS: Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Mazlan Alimat dan pengurusan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) digesa segera menghentikan tindakan mereka membelanja wang Nafas sesuka hati.
Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pitas, Encik Mukram Haji Dakulah berkata, Mazlan dan Pengurus Besar (GM) Nafas, Haji Ahmad Shaari perlu hentikan perbuatan mereka dengan serta merta.
Beliau berkata, ini kerana perbuatan mereka membelanjakan duit Nafas yang tidak memberi faedah dan manfaat secara langsung kepada ahli-ahli peladang.
Katanya, berdasarkan berita dan gambar yang dimuatkan dalam facebook Nafas dan LPP, mereka telah menyampaikan 30 kerusi roda sumbangan Nafas kepada Hospital Kuala Lumpur pada 30 Mac 2020″.
“Mazlan dan Ahmad Shaari yang juga pemimpin parti pembangkang iaitu Parti Amanah Negara (Amanah) tidak wajar membelanjakan duit Nafas sesuka hati jika benar duit CSR banyak boleh membantu.
“Ini kerana Nafas patut melihat kebajikan ahli-ahlinya dan bukan mencari publisiti dengan membuat sumbangan kepada hospital, di mana semua tahu kerajaan telah memberikan peruntukan yang besar kepada Kementerian Kesihatan Malaysia”, katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mukram juga bertanya kepada Ahmad Shaari punca kuasa mana beliau gunakan untuk membelanjakan duit tersebut kerana perbelanjaan itu tidak mendapat kelulusan mesyuarat AJP Nafas. Oleh itu Pendaftar Pertubuhan Peladang (PP) perlu melihat perkara ini.
“Duit Nafas itu sepatutnya digunakan dengan bijak untuk membantu ahli-ahli peladang seluruh negara yang terkesan akibat tularnya Wabak Covid-19”, katanya.
Mukram berkata, umum mengetahui ramai ahli peladang terjejas sumber pendapatan mereka berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan wabak Covid-19 yang melanda negara pada ketika ini.
“Justeru duit Nafas itu wajar digunakan untuk membantu meringankan beban kehidupan ahli-ahli peladang berbanding digunakan untuk membeli 30 buah kerusi roda”.
“Justeru mereka perlu segera menghentikan perbuatan membelanja duit Nafas sesuka hati”.
“Ahli-ahli peladang berharap Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Menteri Pertanian dan Industri Makanan yang baharu, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee akan mengambil tindakan yang sewajarnya bagi membendung pemimpin pembangkang mengambil kesempatan membelanjakan duit Nafas sesuka hati”, tegasnya.-pr/BNN