PITAS SABAH: Ahli-ahli peladang menyifatkan bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub gagal melaksanakan tugas yang diamanahkan oleh Pakatan Harapan (PH) semasa menerajui kementerian itu.
Sebaliknya sebagai Timbalan Presiden Parti Amanah Negara ( Amanah), beliau telah menggunakan kesempatan itu untuk melantik pemimpin parti itu dalam agensi MOA dan GLC kerajaan seperti Lembaga Pertubuhan Peladang, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan lain-lain.
Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pitas Mukram Hj Dakulah berkata, ahli-ahli peladang seluruh negara maklum bahawa Salahuddin tidak melakukan apa-apa perubahan yang memberi faedah kepada para petani, penternak dan nelayan.
Katanya, tiada apa-apa yang boleh dibanggakan yang telah berjaya dilakukan oleh Salahuddin semasa mengemudi MOA, selain melantik ahli Parti Amanah bagi mengisi pelbagai jawatan lantikan politik dalam agensi MOA.
Menurutnya, ahli-ahli peladang masih ingat tindakan beliau yang menyusahkan Pertubuhan Peladang (PP) ialah mengubah dan membuat pindaan terhadap peraturan PP supaya beliau dapat melantik lebih ramai pemimpin Amanah sebagai Ahli Jemaah Pengarah (AJP) dalam PP termasuk Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas).
“Nafas yang dimiliki sepenuhnya oleh kira-kira 1 juta ahli peladang seluruh negara dan bukan GLC Kerajaan juga menjadi mangsa Salahuddin.
“Tindakan Salahuddin bersama Hamzah ( Kp LPP ketika itu ) menggantung perlembagaan Nafas pada pertengahan tahun 2018 selepas menerajui MOA dan kemudiannya melantik orang-orangnya dalam pengurusan dan AJP Nafas sehingga menyebabkan Nafas mengalami kerugian beratus juta ringgit.
“Mungkin itulah antara reformasi dan sumbangan besar Salahuddin dan pemimpin Amanah kepada ahli-ahli peladang seluruh negara yang akan diingati selama-lamnya”, katanya dalam kenyataan.
Mukram mengulas komentar Amanah Awan Pulai dalam media sosial yang memuji kejayaan Salahuddin membawa perubahan dalam peranan MOA dalam menjaga “benteng Makanan Negara”.
Menurut Komram, umum mengetahui Salahuddin telah menggunakan PP termasuk Nafas sebagai alat bagi menganugerahkan jawatan lantikan politik kepada pemimpin dan ahli-ahli Amanah.
Justeru beliau menggesa Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dibawah pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MOA) yang baharu, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee segera menamatkan jawatan-jawatan dalam agensi dan GLC kerajaan yang masih dipegang oleh pemimpin Amanah.
Katanya, ini termasuklah AJP di Nafas, PPK dan Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) yang telah dilantik oleh Salahuddin.
Menurutnya, Amanah Awan Pulai hanya menggunakan alasan isu kartel dan kleptokrasi kerajaan lalu bagi menutup kelemahan dan kegagalan Salahuddin semasa mengemudi MOA.
“Hakikatnya Salahuddin dan pemimpin Amanah yang dilantik menerajui agensi MOA telah gagal menunaikan tanggungjawab dalam memastikan golongan petani, penternak dan nelayan kita dapat menikmati kehidupan lebih baik”, tegasnya.
Mengenai Menteri MOA PN yang baharu, Mokram berkata Amanah Awan Pulai tidak perlu bimbang kerana Dr. Ronald Kiandee mempunyai visi dan wawasan membela nasib dan masa depan yang telah baik untuk para petani, penternak dan nelayan.
“Menteri-Menteri Kabinet Persekutuan termasuk Dr. Ronald kini memberi fokus dan keutamaan terhadap cabaran negara menghadapi pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)”, ujarnya.. pr/BNN