KUALA LUMPUR: Tindakan pegawai kanan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Malaysia mengadakan majlis hari jadi di pejabat telah melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan oleh kerajaan.
Majlis hari jadi Timbalan Ketua Pengarah (TKP) LPP, Datuk Ismail Salleh disambut oleh pegawai kanan dan kakitangan LPP bukan sahaja tidak menjaga jarak, malahan mereka juga tidak memakai face mask.
Difahamkan majlis itu diadakan minggu lalu, turut dihadiri oleh Ketua Pengarah (KP) Lembaga Pertubuhan Peladang Malaysia (LPP), Puan Azulita Salim.
Bekas Ahli Jemaah Pengarah (AJP) Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Lahar Bubu,K.Batas (Pulau Pinang), Encik Md Osman Bin Mat, kesal dengan tindakan TKP dan pegawai kanan LPP yang engkar dan melanggar arahan PKP.
Katanya, mereka telah mengadakan majlis sosial iaitu sambutan hari jadi dan makan-makan di pejabat LPP semasa PKP memasuki fasa ke 3.
“Dalam masa rakyat dan peladang berasa gusar dan bimbang memikirkan nasib dan masa depan mereka yang belum tentu terbela dengan jaminan hasil pertanian yang telah diusahakan.
“KP, TKP dan pengurusan tertinggi LPP pula berseronok mengadakan majlis hari jadi, memotong kek dan makan-makan yang nyata melanggar PKP. Pihak berkuasa harus mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang melanggar PKP”, katanya dalam kenyatan.
Beliau mengulas gambar majlis sambutan hari jadi TKP LPP di pejabat LPP yang tular di media sosial yang didakwa melanggar PKP.
Md Osman berkata, dalam keadaan krisis Covid-19, rakyat melihat kepada barisan kepimpinan negara untuk mengemudi negara dalam keadaan getir ini.
“Kita melihat kepada kepimpinan dan ketua jabatan kerajaan untuk menunjukkan kepimpinan dengan mengamalkan sendiri apa yang sentiasa diingatkan oleh pihak kerajaan kepada rakyat.
“Akan tetapi, yang sebaliknya pula berlaku. Semasa PKP ini, kita melihat KP, TKP dan pegawai kanan LPP tidak mematuhi PKP untuk tujuan yang tidak sepatutnya.
“Sepatutnya mereka mencari jalan memikirkan usaha dan tindakan terbaik untuk membantu para peladang yang terkesan akibat pandemik Covid-19 dan PKP”, tegas beliau.
Menurut Md Osman, Azulita dalam FB LPP menyeru dan mengingatkan semua anggota LPP, PP serta seluruh warga peladang agar sentiasa mengamalkan langkah pencegahan dan menjaga kebersihan bagi memutuskan rantaian Covid-19.
“Jarakkan diri sekurang-kurangnya 1 meter dari orang lain, itulah antara nasihatnya. Malangnya yg kita dapat lihat dalam gambar sambutan hari jadi TKP itu, nyata ianya “cakap tidak serupa bikin””, tambahnya.
Beliau menegaskan, KP, TKP dan pegawai kanan LPP sepatutnya menunjukkan kepimpinan melalui teladan dan bukannya sengaja melanggar peraturan-peraturan PKP.
Melanggar PKP adalah suatu kesalahan jenayah. Sesiapa yang langgar PKP boleh didakwa dan sekiranya didapati bersalah boleh dikenakan denda RM1,000 dan penjara tidak melebihi 6 bulan.
Sewaktu fasa 2 PKP, kerajaan telah membenarkan polis untuk mengeluarkan notis kompaun kepada mereka yang didapati mengingkari PKP. Notis kompaun itu untuk membayar denda RM1,000 dan pesalah tidak akan dikenakan tindakan.
Namun demikian, untuk fasa 3 PKP, Kerajaan telah mengambil keputusan untuk tidak lagi mengeluarkan kompaun.
Menurut Menteri Kanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa untuk fasa 3 tidak ada lagi kompromi dan tindakan tegas akan diambil. Pesalah akan ditangkap dan dihadapkan terus ke mahkamah.-pr/BNN