KOTA KINABALU: UMNO Negeri Sabah hari ini membidas institusi kewangan milik Kerajaan Negeri kerana tidak memberi penangguhan bayaran ansuran bulanan pinjaman (moratorium) selama 6 bulan.

Ketuanya, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, institusi kewangan itu sepeti Perbadanan Pinjaman Sabah (Sabah Credit Corporation), Borneo Housing dan Yayasan Usaha Maju (YUM) wajar memberi moratorium 6 bulan seperti yang dilakukan oleh bank-bank komersial yang lain.

Katanya, rakyat negeri ini termasuk para pelanggan institusi kewangan negeri amat terkesan dengan pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Ramai dikalangan pelanggan Sabah Credit, Borneo Housing dan YUM terdiri daripada rakyat berpendapatan rendah B-40.

“Dengan PKP yang kini masuk fasa keempat, ramai dikalangan mereka kini menghadapi masalah kewangan untuk menyelesaikan bayaran balik pinjaman bulanan.

“Justeru institusi kewangan milik Kerajaan Negeri wajar mengikut langkah bank-bank komersial memberi moratorium selama 6 bulan kepada pelanggan mereka”, katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bung yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan berkata, moratorium 6 bulan wajar diberikan kepada peminjam Sabah Credit berbanding hanya 3 bulan yang ditawarkan sekarang.

Menurutnya, bagi peminjam YUM yang mejoritinya terdiri daripada peniaga kecil-kecilan amat sukar untuk membayar balik pinjaman kerana sepanjang PKP mereka tidak dibenarkan berniaga.

Katanya, peminjam YUM mejoritinya adalah kaum wanita yang mengusahakan perniagaan seperti menjual produk kecantikan, membuka gerai-gerai menjual makanan, kuih pisang dan lain-lain.

“UMNO Sabah berharap Kerajaan Negeri prihatin terhadap nasib dan kesusahan hidup yang dihadapi oleh golongan tersebut sepanjang PKP dengan mengarahkan institusi kewangan miliknya memberikan moratorium sekurang-kurangnya selama 6 bulan bagi meringankan beban para peminjam”, tegasnya.-pr/BNN