KOTA KINABALU: Lebih 20 pengusaha bas ekspres di negeri ini bersedia untuk beroperasi bila-bila masa, sebaik sahaja mendapat “lampu hijau” daripada Kementerian Pembangunan Infrastruktur Negeri Sabah.
Presiden Majlis Pengusaha-Pengusaha Bas Ekspres Sabah (Seboc), Datuk Donald Hanapi dalam kenyataan akhbar hari ini berkata pihaknya baru sahaja bermesyuarat dengan Setiusaha Tetap kementerian tersebut, bagi menetapkan Standard Operating Procedure (SOP) bagi aktiviti bas ekspres sempena Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat.
“Dalam mesyuarat tersebut pengusaha bas ekspres telah ditanya samada sudah bersedia beroperasi jika dibenarkan, dan kami sememangnya telah bersedia untuk kembali berkhidmat setelah dihentikan sejak 18 Mac lepas.
“Saya telah difahamkan bahawa kementerian akan mengadakan mesyuarat dalaman pada esok hari (5 Mei) sebelum memberikan kata putus berhubung hal ini.
“Ketika mesyuarat hari ini, persatuan kami menekankan agar diberikan subsidi minyak diesel kepada pengusaha bas, dan juga dibantu dari segi penyediaan disinfeksi di setiap terminal bas untuk mengelakkan menularan wabak Covid-19,” katanya.
Donald, dalam mesyuarat tersebut juga memohon agar kadar tambang bas dinaikkan sekurang-kurangnya 30 peratus kerana pengurangan pendapatan berikutan SOP penjarakan sosial.
“Jika sebelum ini sebuah bas ekspres boleh memuatkan 42 penumpang, namun dengan pelaksanaan penjarakan sosial, hanya 20 orang dibenarkan di dalam bas.
“Pengurangan jumlah penumpang ini pastinya memberikan kesan yang sangat besar kepada pengusaha bas ekspres, dan kami berharap agar permohonan kami dipertimbangkan,” katanya.- pr/BNN