KOTA KINABALU: Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) BERSATU Negeri Sabah meminta Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman agar menerima hakikat beliau telah dilucut keahlian daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Ketuanya Encik Isquzawan Israq Datuk Arsit berkata, bekas Menteri Belia dan Sukan itu juga perlu menghormati keputusan dan perlembagaan parti.

“Kami berharap Syed Saddiq dapat menerima hakikat sebenar bahawa beliau telah dilucut keahlian daripada parti.

“Justeru adalah lebih baik beliau dan penyokongnya berhenti daripada terus menggunakan nama Armada BERSATU Pusat kerana ia hanya akan mengelirukan ahli-ahli Armada dan BERSATU, katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas kemelut parti itu terutama keahlian 5 pemimpin BERSATU, termasuk Syed Saddiq yang dilucut (terhenti) dengan serta merta kerana melanggar perlembagaan parti.

Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Sabtu berkata, lima pemimpin BERSATU termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad bukannya dipecat sebaliknya keahlian mereka terhenti dengan serta-merta kerana melanggar perlembagaan parti.

Empat yang lain ialah Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), Dr Maszlee Malik serta Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Amiruddin Hamzah.

Isquzawan berkata, Armada BERSATU Sabah merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Syed Saddiq diatas segala jasa dan sumbangan beliau semasa menerajui Ketua Armada BERSATU.

“Armada BERSATU Sabah juga menghormati Syed Saddiq diatas kepimpinan beliau sepanjang menerajui Kementerian Belia dan Sukan yang banyak membantu gerakan belia”, tegasnya.

Armada BERSATU Sabah juga mengulangi sokongan padu kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden parti.-pr,/BNN