PITAS: Bekas Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang Malaysian (LPP), Datuk Mazlan Aliman telah banyak membuat janji yang gagal beliau tunai semasa pemerintahan Kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Ahli Jemaah Pengarah (AJP) Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pitas, Encik Mukram Haji Dakulah mendakwa, banyak janji-janji manis yang ditabur oleh Mazlan semasa menyandang jawatan Pengerusi LPP.
Katanya, pemimpin Parti Amanah Negara (Amanah) itu hanya membuat janji-janji kosong dengan ahli-ahli peladang seluruh negara.
Beliau berkata, antara janji Mazlan ialah membela nasib dan masa depan ahli-ahli peladang di negara ini, namun beliau gagal berbuat demikian.
“Setelah dipecat daripada jawatan Pengerusi LPP oleh Kerajaan Perikanan Nasional (PN), kini Mazlan cuba menjadi hero pula mahu membela nasib para peneroka Felda.
“Kenapa semasa berkuasa, beliau tidak bersuara dan membela nasib para peneroka Felda? Sebaliknya hanya membuat janji-janji yang gagal beliau tunai.
“Hanya setelah hilang kuasa beliau tiba-tiba muncul semula mempertikai pemberian duit raya RM300 kepada peneroka sempena Aidilfitri tahun ini”, katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Mazlan dalam portal Suara Pakatan Daily yang mempersoalkan kenapa PN hanya memberi duit raya kepada peneroka Felda sebanyak RM300?
Mazlan selaku Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) mendakwa,Kerajaan PN yang dikatakan pembela nombor satu kaum Melayu tidak berjaya meringankan beban peneroka Felda yang rata-rata terdiri daripada orang Melayu apabila memberi duit raya RM300 pada Aidilfitri tahun ini.
Katanya, pemberian duit raya dalam jumlah kecil dilihat tidak munasabah kerana golongan itu kini terbeban dengan kos sara hidup yang tinggi ekoran wabak Covid-19.
Mukram berkata, Mazlan mungkin lupa bahawa Kerajaan PN telah memberi Bantuan Prihatin Nasional (BPN) berupa wang tunai kepada semua peringkat rakyat termasuk individu bujang.
“Para peneroka Felda juga tidak terkecuali daripada mendapat faedah dan manfaat daripada BPN itu, selain duit raya sebanyak RM300”, tegasnya.
Serentak itu beliau mengingatkan Mazlan agar tidak hipokrik dan menjadikan duit raya kepada peneroka Felda sebagai isu politik.-pr/BNN