KOTA KINABALU: Datuk Joniston Bangkuai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu mengakui kelantangannya membantah pemberian Pas Sementara Sabah (PSS) kepada Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) oleh kerajaan pintu belakang Warisan-PH-Upko.
Dalam satu kenyataan akhbar beliau berkata dia akan terus berpegang kepada pendirian yang sama jika usaha menyelesaikan isu PATI tidak memihak kepada kepentingan negeri dan rakyat tulen Sabah.
“Timbalan Ketua Wirawati Parti Warisan Jo-Anna Sue Henley Rampas tidak perlu membuang masa mempersoalkan pendirian saya semata-mata untuk meraih sokongan,” tegas nya.
“Begitupun, saya mengucapkan terima kasih kepada Jo-Anna kerana mengetengahkan semula kenyataan saya pada Oktober 2018 berhubung isu pemberian IMM13,” tambahnya.
Katanya untuk memperingatkan Jo-Anna, dia mengeluarkan kenyataan itu apabila tular gambar dan laporan ribuan PATI menyerbu pejabat Imigresen di Wisma Dang Bandang untuk mendaftar mendapatkan dokumen IMM13 kerana dia mengesyaki mungkin pendaftaran itu atas permintaan kerajaan negeri pimpinan parti Warisan.
“Dalam kenyataan saya itu, saya meminta penjelasan siapa yang memberi arahan (menekan butang) menghidupkan semula pendaftaran pas IMM13 dan siapa dalangnya dan saya juga mengemukakan beberapa cadangan dan saya masih berpegang kepadanya,” kata Joniston yang juga merangkap Ketua Penerangan Parti Bersatu Sabah (PBS).
Adakah mungkin kerana tidak dapat menerima hakikat penolakan rakyat Sabah terhadap pemberian PSS kepada PATI oleh Kerajaan Warisan-PH-Upko dan melihat pendekatan baharu kerajaan pusat sekarang lebih praktikal dan efektif, Jo-Anna menggelabah, soalnya.
Amat ketara Jo-Anna memutarbelitkan pendekatan baharu cadangan penyelesaian isu pemegang dokumen IMM13 dan PATI di Sabah oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN) semata-mata untuk meraih sokongan, katanya lagi.
“Jo-Anna sepatutnya membaca kenyataan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Timbalannya Jonathan Yassin dengan teliti sebelum membuat tuduhan melulu kononnya pemegang dokumen IMM13 dibenarkan tinggal dan bekerja di Sabah dan Labuan tanpa memohon permit kerja.”
Amat jelas dalam kenyataan Datuk Seri Hamzah dan Jonathan bahawa pemegang dokumen IMM13 mesti mendapatkan dokumen pengenalan dan passport dari negara mereka sebelum dibenarkan berada di Sabah untuk berkerja, kata Joniston.
“KDN juga tidak menyentuh pun berkenaan pemegang dokumen IMM13 diberi kebenaran hadir ke sekolah dan mendapat perkhidmatan kesihatan kerajaan. ”
“Mungkin Jo-Anna terlupa bahawa sebenarnya kerajaan parti Warisan-PH-Upko yang mesra PATI yang merancang
membenarkan kanak-kanak tanpa kerakyatan ke sekolah kerajaan seperti yang diumumkan oleh mantan Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching pada 2018.”
“Sudah terlupa kah Jo-Anna bahawa Kerajaan pintu belakang negeri Sabah ini juga dilihat begitu perihatin dalam memberi bantuan kepada mangsa kebakaran perkampungan-perkampungan setinggan yang nampak seolah-olah luar biasa jumlah kesnya semenjak PRU14.”
“Banyak persoalan timbul setiap kali kebakaran setinggan berlaku kerana Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Bergerak dilaporkan seolah-olah lebih cepat “turun membantu” daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).”
“Selain daripada itu, Kerajaan Warisan turut mengumumkan hasrat mewartakan kampung-kampung setinggan yang ketahui umum didiami majoriti PTI.”
“Begitupun saya ingin berterima kasih kepada Jo-Anna kerana mengiktiraf perjuangan saya dan PBS berkaitan isu PATI yang sekian lama menjadi duri dalam daging di Sabah,” jatanya..
Joniston berkata dia tidak pernah lari daripada pendirian teguh berkenaan isu PATI ini yang memerlukan tindakan segera.
“Di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang baharu ini saya melihat komitmen sepenuhnya untuk menangani isu prioriti Sabah ni,” tegas beliau.
“Untuk makluman, PBS membuat keputusan menyokong pendekatan baharu menangani isu PATI di Sabah setelah mendapat penjelasan dan jaminan daripada Datuk Seri Hamzah bahawa beliau bertekad untuk menyelasai isu itu “once and for all”.”
“Kita sudah melihat keseriusan KDN menangani dan menyelesai isu PATI di Semenanjung Malaysia yang melibatkan pelarian Rohingya dan warga negara asing yang lain dan kita yakin komitmen yang sama juga akan diberikan oleh KDN untuk mencari penyelesaian isu PATI di Sabah.”
Pendirian PBS adalah IMM13 merupakan dokumen pelarian perang (asylum-seekers & war refugees) yang mana perang di Selatan Filipina sudah tamat dan wajar mereka dihantar pulang, kata Joniston.
“Kita berharap kerajaan pusat akan mengadakan perbincangan secepat mungkin dengan kerajaan Filipina untuk memberi dokumen pengenalan dan passport sah Republik Filipina kepada semua pemegang IMM13.”
Harus ditegaskan juga bahawa Sijil Burung Burung dan Kad Banci bukannya dokumen sah dan pemegang kedua-dua jenis dokumen ini merupakan PATI dan harus diusir dari negeri Sabah.
“Saya melihat dibawah kerajaan PN, KDN serius menangani isu PATI di Sabah dan sehubungan itu PBS berkesempatan menyerahkan memorandum cadangan penyelesaian kepada Datuk Seri Hamzah sewaktu lawatan beliau ke Sabah baru-baru Ini.”
Kita memerlukan kerajaan negeri yang sehaluan dengan kerajaan persekutuan untuk memerangi isu PTI di Sabah secara efektif, ujar beliau.-pr/BNN