Sebagai saksi kepada pendengaran Semakan Kehakiman Tan Sri Musa Aman (“TSMA”) di Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak di Kota Kinabalu melalui Permohonan No. BKI-13NCvC-19/8-2020, saya berhasrat untuk menjawab segala kekeliruan hasil dari pendengaran tersebut yang diadakan pada 17.08.2020.
Berdasarkan arahan yang diberikan oleh Yang Arif Datuk Leonard David Shim pada 07.08.2020, pihak Peguam Negeri (“SAG”) serta Peguam Negara harus memfailkan hujahan bertulis mereka pada 10.08.2020 dan Peguam TSMA pula perlu memfailkan hujahan mereka pada 12.08.2020. Yang Arif seterusnya menetapkan 17.08.2020 untuk pendengaran klarifikasi, yang mana segala persoalan perundangan haruslah dijawab bagi memudahkan Yang Arif untuk membuat keputusan.
Namun begitu, sewaktu pendengaran tersebut, saya melihat sendiri pihak SAG gagal untuk mematuhi arahan yang diberikan oleh Yang Arif dengan memfailkan satu Ikatan Otoriti Tambahan pada 14.08.2020 dan kemudiannya membuat hujahan secara lisan tanpa sebarang hujahan bertulis untuk rujukan pihak Peguam TSMA. SAG juga telah memfailkan satu “Ringkasan Eksekutif” pada hari tersebut tanpa memberikan salinan kepada Peguam TSMA. Tindakan ini jelas menunjukkan pihak SAG tidak mematuhi syarat yang diberikan oleh Yang Arif.
Selain itu, tingkah laku pihak SAG pada waktu pendengaran tersebut amat tidak teratur, malah ada beberapa dokumen penting hanya diserahkan kepada pihak Peguam dan Mahkamah ketika pendengaran berlangsung. Pihak SAG juga gagal mematuhi prosedur sedia ada dengan melantik Encik Chung Jiun Dau sebagai Peguam tambahan tanpa menggunakan surat pelantikan fiat. Lebih membimbangkan, Encik Chung Jiun Dau telah mengingkari arahan Yang Arif untuk menumpukan hujuhan kepada isu “justiciability” sahaja apabila beliau berhujah mengenai isu yang tidak berkaitan langsung dengan isu “justiciability” (saya percaya salah satu daripada isu yang disebut adalah isu “Locus Standi”).
Pada pandangan saya, tindakan SAG pada hari tersebut sangat tidak beretika dan tidak memuaskan bagi seorang yang memegang jawatan Peguam Negeri. Atas sebab-sebab yang dinyatakan di atas, Yang Arif telah mengarahkan peguam TSMA memfailkan hujahan balasan bagi menjawab isu yang dikemukakan selewat-lewatnya pada 19.08.2020 dan Yang Arif juga telah menetepkan 21.08.2020 untuk keputusan.
Saya percaya, sekiranya pihak SAG serta Peguam tambahannya jujur dan telus dalam melaksanakan tanggungjawab mereka serta akur dengan arahan yang diberikan oleh Yang Arif, kes ini sepatutnya sudah selesai pada 17.08.2020.-
Datuk Osman Jamal,
ADUN Balung,
Kota Kinabalu,
18 Ogos, 2020.