KOTA KINABALU:. Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Parti Cinta Sabah (PCS), Tay Jock Liang terkilan kenyataan Dr Daud Yusuf yang dilihat cuba meminggirkan kaum Kadazan, Dusun dan Murut (KDM) di Bongawan dalam agenda pembangunan di kawasan itu.
Beliau turut mempersoalkan motif di sebalik kenyataan itu yang mungkin bersifat dendam ekoran kekalahan pada pilihanraya kecil (PRK) Kimanis yang menyaksikan Warisan ditolak di semua Pusat Daerah Mengundi (PDM) KDM.
Menurutnya, sentimen itu ketara apabila Dr Daud dalam kenyataannya hanya mengajak etnik Brunei di Bongawan dalam perancangan pembangunan industri minyak dan gas di kawasan itu jika Warisan sekali lagi memerintah selepas pilihan raya negeri (PRN) ini.
“Ini adalah realiti dan bukannya pembohongan kerana kenyataan itu boleh dilihat dalam artikel media massa dan sosial media yang jelas meminggirkan KDM jika sekali lagi Warisan menang pada PRN Sabah.
“Umum mengetahui Warisan pada PRK Kimanis awal tahun ini telah tewas kepada Barisan Nasional (BN) dan keputusan itu amat memeranjatkan kepimpinan Warisan yang sejak awal lagi yakin menang besar.
“Apa yang pasti, sokongan KDM di semua saluran PDM menolak Warisan termasuk di beberapa kawasan PDM etnik Brunei khususnya saluran anak muda yang majoritinya tidak mengundi parti ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.(26 Ogos)
Susulan kenyataan penyandang kerusi Dun Bongawan, Dr Daud Yusuf di media massa dan media sosial itu telah membangkitkan rasa tidak puashati dan kemarahan di kalangan netizen khususnya KDM Parlimen Kimanis.
Tay berkata, pihaknya faham kekalahan Warisan dalam PRK sesuatu menyakitkan namun tidak perlu sampai ke tahap dendam hingga meminggirkan KDM yang merangkumi 40 peratus jumlah pengundi di Parlimen Kimanis dalam agenda pembangunan masa depan.
Katanya, beliau tidak faham kenapa perlu Dr Daud dan kepimpinan Warisan ‘double standard’ terhadap KDM Kimanis sedangkan etnik Brunei pun terang-terangan menolak kepimpinan Warisan pada PRK Kimanis ini namun tidak pula dipinggirkan.
“Jika ini ‘standard’ dan mentaliti pemimpin Warisan, ia sudah tentu amat mengecewakan bukan saja kepada KDM tetapi juga kepada semua kaum di seluruh peringkat masyarakat di Sabah.
“Jika maruah KDM di Kimanis pun boleh dilakukan sesuka hati, apatah lagi KDM di seluruh negeri ini.Fikirkanlah sikap Warisan yang jelas pilih kasih.
“Warisan dan Dr Daud mungkin lupa bahawa sokongan KDM memainkan peranan besar ke atas kemenangan beliau sebagai calon Warisan di Dun Bongawan pada PRU14 lalu namun balasan diterima KDM ketika ini menghampakan,” katanya.
Tay berkata, sudah tentu KDM gembira apabila jawatan Unit Pegawai Pembangunan Masyarakat (UPPM) Bongawan diserahkan dari kalangan mereka selepas PRU14 lalu namun malangnya ia langsung tidak membawa manfaat kepada KDM Kimanis.
Masakan tidak katanya, individu dilantik bukan pilihan majoriti KDM Kimanis kerana lantikan berdasarkan rekomendasi individu yang mempunyai kaitan dengan pemimpin tertinggi Warisan Pusat dan warga KDM Kimanis maklum tentang perkara itu.
“Justeru, sudah tiba masanya KDM untuk sekali lagi menghukum Warisan khususnya di Kimanis kerana jelas parti itu memandang rendah kemampuan etnik ini yang berperanan besar hingga Warisan/Upko berjaya membentuk kerajaan sebelum ini,” tegasnya.-pr/BNN