KOTA KINABALU: Saya ingin merujuk kepada pertanyaan mantan YB Menteri Pertanian dan Industri Pemakanan, Saudara Junz Wong kepada mantan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman, mengenai rasional pewartaan kawasan seluas 4.64 ekar di Mowtas Sandakan, G.N. 27 – 2006 sebagai kawasan Penempatan Perumahan Setinggan Filipina.
Tuduhan beliau itu tidak lebih daripada fitnah berniat jahat yang bertujuan mahu mengelirukan rakyat sedangkan perkara sebenar adalah sebaliknya.
Selaku mantan Pengarah Tanah dan Ukur Sabah, saya ingin memaklumkan bahawa Tan Sri Musa tidak pernah mencadangkan untuk mewartakan kawasan Sungai Mowtas seluas 4.64 ekar sebagai Tapak simpanan Penempatan Perumahan Pendatang Tanpa Izin Filipina di Sandakan.
Untuk makluman, kawasan seluas 46.40 ekar telah diwartakan sebagai kawasan Penempatan Pendatang Tanpa Izin Filipina di Mowtas Sandakan pada tahun 1983 melalui bilangan Pewartaan G.N. 73 – 1983.
Tan Sri Musa kemudian pada 6 Oktober 2005 mencadangkan kepada TYT YDP Negeri Sabah agar kawasan Penempatan Pelarian Filipina seluas 46.40 ekar dibubarkan . Berikutan cadangan tersebut, kawasan Penempatan Pendatang Tanpa Izin seluas 46.40 ekar telah dibubarkan melalui pewartaan G.N. 27 – 2006 dan kawasan Penempatan Pendatang Tanpa Izin Filipina seluas 4.60 ekar dikekalkan untuk kegunaan asal.
Berdasarkan penjelasan di atas, adalah jelas Tan Sri Musa bukanlah mantan Ketua Menteri yang mencadangkan pewartaan kawasan Penempatan Pelarian Tanpa Izin Filipina melalui G.N. 27 – 2006 tetapi telah mencadangkan pembubaran kawasan Penampatan Pelarian Tanpa Izin seluas 46.40 ekar untuk kawasan Pembangunan Ekonomi Negeri Sabah melalui POIC Sandakan dan baki 4.60 ekar kawasan dikekalkan sebagai Penempatan Pelarian Tanpa Izin Filipina.-
Datuk Osman Jamal
ADUN Balung
Kota Kinabalu
7 September, 2020