TUARAN: Kenyataan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), yang mengatakan rakyat Sabah tidak memerlukan bantuan Kerajaan Persekutuan adalah sangat negatif dan keterlaluan, kata Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

“Saya ingat ini satu komen yang sangat negatif. Rakyat memerlukan bantuan. Apa jua bantuan yang diberikan oleh Kerajaan, rakyat terima dengan hati yang senang. Jadi kalau kita cakap rakyat Sabah tidak perlukan BR1M, tidak perlu bantuan Persekutuan, itu adalah sesuatu yang saya rasa sangat negatif dan rakyat tidak suka keadaan seumpama itu.

“Itu lah sebabnya kita bersama dalam Kerajaan Persekutuan untuk membantu rakyat. Masih ramai lagi rakyat kita yang memerlukan bantuan. Jadi kalau kita cakap bahawa rakyat tidak perlukan bantuan itu adalah sesuatu yang agak keterlaluan,” katanya ketika ditanya tentang kenyataan Mohd Shafie dalam video yang diviralkan di media sosial.

Hajiji, yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah, berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Sub Markas PN PDM Kindu, Kampung Kindu.

Beliau diminta mengulas kenyataan Mohd Shafie yang mendakwa jika Hajiji menjadi Ketua Menteri Sabah yang baru dia akan dikawal oleh bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman, Hajiji berkata itu tidak betul.

“Saya sudah dewasa dan sudah lama berkecimpung dalam politik. Tidak ada satu orang yang boleh kawal apa yang tersirat dan apa perancangan saya. Jadi tuduhan Shafie adalah tidak betul.

“Saya juga minta Shafie janganlah terbawa-bawa orang lain macam Tan Sri Musa Aman, sebab dia tidak jadi calon (dalam Pilihanraya Negeri kali ini).

“Walaupun mungkin dia ada bantu dalam berkempen di beberapa kawasan, tetapi kenapa tumpuan berikan pada beliau, beliau dikutuk dengan bermacam-macam, saya ingat ini tidak adil bagi beliau, sehingga ada yang keterlaluan, fitnah dan sebagainya.

“Isu kita ialah untuk memulihkan ekonomi rakyat, membantu rakyat dan masa depan negeri Sabah. Kenapa pula kita libatkan dan mengutuk orang lain yang tidak terlibat dalam pilihanr aya ini. Bagi saya itu tidak berapa manis di dengar oleh rakyat,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya bagaimana untuk meningkatkan ekonomi untuk kawasan Dewan Undangan Negeri Sulaman, Hajiji yang mempertahankan kerusi DUN itu berkata, dia mempunyai banyak perancangan untuk DUN ini.

“Di sini ada banyak sekor yang boleh kita majukan, termasuk juga dalam Aku Janji (manifesto) yang telah kita nyatakan.

“Di Sulaman ini ada beberapa segmen masyarakat seperti nelayan, petani dan juga pekerja biasa dalam menyara hidup mereka. Jadi, saya akan lakukan yang terbaik untuk membantu kumpulan-kumpulan sasar ini iaitu nelayan, petani dan juga mereka yang menjadi peniaga-peniaga kecil dan sebagainya.

“Mereka memerlukan bantuan, tempat dan sebagainya. Ini kita akan lakukan kerana untuk menjana ekonomi kita perlu pelbagaikan punca pendapatan mereka. Jadi ini lah caranya untuk mereka mendapat pendapatan dan menyara hidup.

“Saya tidak perlu perincikan tetapi dalam halatuju kita, bukan sahaja di kawasan Sulaman tetapi di peringkat negeri kita tidak boleh lupa dengan sektor-sektor yang boleh membawa kemajuan dan pendapatan kepada rakyat.

“Insyallah, di Sulaman, kita akan teruskan. Bukan sahaja daripada segi infrastruktur tetapi mana-mana yang masih kurang. Misalnya, di sebuah kampung yang saya telah lawati, masalah mereka dalam dua tahun ini mereka tidak mendapat bantuan untuk membaiki jalanraya, jambatan dan sebagainya. Insyallah, kalau kita diberikan mandat, kita akan lakukan yang terbaik.

“Dulu, saya tidak pernah tidak bagi peruntukkan kepada setiap kampung, terutama untuk membaiki jambatan, jeti, jalanraya dan sebagainya,” katanya.

Mengenai perkembangan kempen di kawasan DUN, Hajiji berkata dia amat yakin berdasarkan perjalanan program-program yang begitu baik dan PN boleh menang di kawasan Sulaman.

“Syukur Alhamdulilah, saya lihat jentera PN bekerja dan mengatur program-program untuk berkempen di seluruh kawasan Sulaman ini. Jadi pemimpin-pemimpin kita di peringkat bahagian dan kadang-kala jemputan kita juga datang untuk membantu berkempen bagi pihak PN.

“Saya amat yakin dengan perjalanan program yang begitu baik, Insyaallah, PN akan menang di DUN Sulaman,” katanya.pr,/BNN

Hajiji menebar roti bersama penduduk kampung di majlis itu.