PAPAR: Tindakan tegas akan diambil terhadap pendatang asing tanpa izin (PATI) yang tinggal secara haram di Sabah apabila Perikatan Nasional (PN) dan rakan sekutunya dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengambil alih tampuk pemerintahan Kerajaan Negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Pengerusi PN Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, ia merupakan usaha dan komitmen PN dan GBS untuk menyelesaikan masalah kebanjiran PATI di negeri ini.
Katanya, Kerajaan GRS yang akan ditubuhkan nanti akan mempastikan hanya orang asing yang memiliki dokumen yang sah sahaja dibenarkan untuk tinggal dan bekerja di negeri ini.
“Bila kita memerintah nanti kita akan ambil tindakan tegas terhadap mereka yang tidak mempunyai dokumen. Kita tidak mahu jadi kerajaan mesra PATI, seperti yang ada sekarang ini, kerana nanti kita sendiri yang susah.
“Kalau mereka (PATI) mahu datang ke Sabah, mesti ada dokumen yang sah. Kalau tidak, kita akan hantar mereka pulang. Ini selaras dengan pendirian kita dan Perjanjian Malaysia 1963,” katanya di majlis bersama rakyat di Taman Sutera Jaya, Kinarut pada Selasa.
Turut hadir ialah calon PN bagi kerusi DUN Kawang, Datuk Haji Ghulamhaidar Khan Bahadar.
Hajiji yang juga Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Sabah berkata, selain itu, struktur pentadbiran Kerajaan Negeri juga akan disusun semula dengan mengambil kira kepentingan negeri dan rakyat Sabah.
“Tindakan Kerajaan Negeri yang ada sekarang ini untuk tidak bersama dengan Kerajaan Persekutuan hanya merugikan rakyat di negeri ini.
“Kita bersama-sama dalam Malaysia, janganlah menanamkan semangat benci kepada Putrajaya (Kerajaan Persekutuan) atau orang-orang daripada Semenanjung. Ini sesuatu yang tidak sihat kerana boleh memecah belahkan perpaduan dikalangan rakyat kita…masa kita susah Kerajaan Persekutuan bantu kita,” katanya.
Hajiji turut mengulas kenyataan bekas Menteri Persekutuan Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Mohammadin Ketapi, yang menghina pasukan keselamatan, dengan mengatakan kejadian tragedi Tanduo di Lahad Datu sebagai satu lakonan.
Menurutnya, pengorbanan pasukan keselamatan dalam mempastikan keamanan berterusan di negara kita ini sepatutnya dihargai dan disanjungi, dan bukannya jadi bahan penghinaan.
“Jangan hina pasukan keselamatan kita, kerana kalau bukan kerana mereka kita tidak akan dapat tidur dengan lena, hidup aman damai dan tenteram,” katanya.
Hajiji turut menyaksikan penerima kemasukan lebih 1,700 pemimpin dan ahli-ahli Warisan yang diketuai oleh mantan Pegawai Pembangunan Masyarakat (PPM) Kawang, Encik Mohd Faizal Padlee yang juga mantan Ketua Penerangan Wira Warisan Bahagian Papar.
Faizal mewakili ahli-ahli Warisan bahagian Papar menyerahkan borang permohonan keahlian kepada Ghulam yang juga Ketua Bersatu Bahagian Papar.
Hadir sama ialah mantan Setiausaha Politik kepada mantan Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Datuk Aidi Moktar dan Setiausaha Warisan Bahagian Papar, Encik Encik Mohd Faizal Julaili.-pr/BNN