TUARAN: Undi kepada Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) and Parti Bersatu Sabah (PBS) dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihanraya Umum DUN Sabah Ke-16 juga merupakan tanda sokongan kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sangat prihatin kepada rakyat di negara ini.

Pengerusi PN Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata ini selain daripada memberikan peluang keemasan kepada rakyat Sabah untuk menukar kerajaan Warisan Plus demi masa depan mereka dan negeri ini yang lebih cerah.

“Kita kena berikan sokongan yang padu kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sangat prihation terhadap nasib rakyat Malaysia, termasuklah di Sabah. Beliau telah melakukan yang terbaik pada saat kita memerlukannya.

“Dengan mengundi dan memenangkan PN, BN dan PBS dalam Gabungan Rakyat Sabah pada pilihanraya esok kita bukan sahaja memastikan masa depan yang lebih baik bagi rakyat dan negeri ini, tetapi juga dapat meneruskan usaha Perdana Menteri yang begitu hebat dan baik untuk rakyat dan negeri Sabah,” katanya di Majlis Ramah Mesra bersama Perdana Menteri di PDM Sawah di sini pada Jumaat.

Hajiji, yang juga Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah dan calon PN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman, berkata rakyat Sabah mesti ubah balik kerajaan yang ada sekarang.

“Kita mesti ubah balik kerajaan. Shafie (Ketua Menteri) sudah gagal dalam memerintah Sabah dan rakyat menderita selama dua tahun lebih kerajaan Warisan Plus memerintah negeri ini. Sekarang peluang untuk kita, kuasa ditangan rakyat esok, kita ubah balik kerajaan Warisan Plus.

“Warisan plus telah gagal dalam mentadbir Sabah, pentadbiran kerajaan negeri kucar kacir. Semua tidak memberikan kebaikkan kepada Sabah. Lebih-lebih lagi apabila Shafie dan kerajaan Warisan Plus mengambil keputusan untuk tidak bersama dengan Kerajaan Persekutuan pimpinan Muhyiddin,” katanya.

Beliau juga memberikan jaminan keempat DUN dalam kawasan parlimen Tuaran, iaitu Sulaman, Pantai Dalit, Tamparuli dan Kiulu, akan menjadi milik kerajaan GRS.

“Kita akan teruskan usaha untuk membangun dan memulihkan ekonomi Sabah yang begitu teruk. Agenda pertama PN dan rakan-rakan dalam GRS adalah untuk memulihkan ekonomi negeri Sabah,” katanya.

Setiausaha Agung PBS, Datuk Jahid Jahim, yang juga calon PBS bagi kerusi DUN Tamparuli, dan Ketua Bahagian Umno Tuaran, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, antara yang hadir di majlis itu.-pr/BNN

Hajiji berucap di majlis itu.