KOTA KINABALU; Pada hari ini, 13 Oktober 2020, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh Negeri Sabah telah bermula untuk tempoh 14 hari. Kerajaan Negeri merayu supaya semua penduduk negeri ini mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
2. Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, sebanyak 443 kes baharu COVID-19 di Sabah dilaporkan pada hari ini. Seramai 2,970 pesakit sedang menerima rawatan di hospital seluruh Sabah. Seramai empat (4) orang meninggal dunia hari ini dan sejumlah 2,054 pesakit dilaporkan telah sembuh dan dibenarkan keluar hospital.
3. Dalam tempoh PKPB, Kerajaan Persekutuan melalui Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara pada hari ini telah memutuskan untuk membenarkan kegiatan berkaitan sektor ekonomi, industri dan perniagaan beroperasi dengan mematuhi SOP yang dikeluarkan oleh MKN. Sektor-sektor yang
dibenarkan beroperasi termasuklah sektor perikanan, perladangan dan pertanian.
4. Masjid dan Surau serta rumah ibadah lain adalah ditutup. Walau
bagaimanapun, laungan azan setiap waktu adalah dibenarkan.
5. Semua aktiviti sukan, rekreasi, sosial dan budaya termasuk majlis
perkahwinan adalah tidak dibenarkan.
6. Kerajaan Persekutuan juga bersetuju menyalurkan peruntukan berjumlah RM 50 juta untuk membantu Kerajaan Negeri Sabah menangani penularan pandemik COVID-19.
7. Kerajaan Negeri sedang giat mengagihkan bantuan Bakul Makanan (food basket) kepada penduduk kampung-kampung yang diarah melaksanakan PKPD atau lockdown dan yang mana Ketua Isi Rumah (KIR) sedang menjalani kuarantin kendiri di rumah. Sehingga hari ini, sebanyak 12,813
bakul makanan telah diagihkan.
8. Sebagai langkah untuk mengekang penularan COVID-19 di Sabah, Kerajaan Negeri amat mengharapkan agar semua pihak dapat mempertingkatkan usaha dan peranan masing-masing untuk memutuskan penularan jangkitan COVID-19 di Negeri Sabah.
#kitajagakita #stayhome #staysafe
Sekian.
YB MENTERI KERAJAAN TEMPATAN DAN PERUMAHAN/
MENTERI KEWANGAN 11
13 Oktober 2020