KOTA KINABALU: Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, jumlah kes positif baharu COVID-19 di Negeri Sabah pada hari ini adalah sebanyak 503 kes. Dua (2) kes
kematian dicatatkan iaitu masing-masing di Sandakan dan Kota Kinabalu. Jumlah kumulatif kes COVID-19 di negeri ini sebanyak 16,195 kes.

Pada hari ini, seramai 3,155 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 698 orang di hospital dan 2,457 orang di PKRC. Bilangan pesakit COVID-19 dalam ICU ialah 76 orang manakala 23 orang memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated).

Pada hari ini, terdapat satu (1) kluster baharu di Daerah Tawau (i) Kluster Pusat Tahanan Sementara (PTS) Tawau mencatatkan sebanyak 104 kes hasil saringan tahanan.

Jumlah keseluruhan katil di Hospital COVID-19 dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) kekal 8,296 katil. Penggunaan katil keseluruhan pada hari ini adalah 38.03%.

KELONGGARAN KELUAR MASUK DI SEMUA LOKALITI YANG DILAKSANAKAN PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN DIPERKETATKAN (PKPD) KECUALI PENJARA KEPAYAN DAN PUSAT TAHANAN SEMENTARA (PTS) MENGGATAL

Kerajaan bersetuju membenarkan semua lokaliti di taman perumahan dan kampung yang dilaksanakan PKPD di Sabah diberi kelonggaran pergerakan keluar masuk kecuali Penjara Kepayan dan PTS Menggatal.

Hanya seorang wakil dari setiap rumah dibenarkan keluar dari kawasan PKPD dengan kebenaran PDRM khusus untuk mengeluarkan wang dari mesin-mesin ATM / Bank dan membeli keperluan asas dan non-food items.

PELANJUTAN PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN DIPERKETATKAN (PKPD) PENJARA KEPAYAN DAN KUARTERS PENJARA TAMAN MAT SALLEH, KG. MATAMBAI

Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara: Pengurusan COVID-19 yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri hari ini telah meluluskan pelanjutan PKPD di Penjara Kepayan dan Kuarters Penjara Taman Mat Salleh, Kg. Matambai mulai 3 November 2020 sehingga 16 November 2020.

BANTUAN BAKUL MAKANAN (FOOD BASKET)
Pengagihan bantuan bakul makanan (food basket) kepada golongan sasar berjalan lancar. Sehingga hari ini, sebanyak 125,847 bakul makanan telah diagihkan.

LAPORAN SEKATAN JALAN RAYA (SJR), PENGUATKUASAAN PERAIRAN SABAH, SANITASI DAN HEBAHAN UMUM INFO ON WHEELS

Sebanyak 64 SJR telah dilaksanakan di 64 lokasi melibatkan pemeriksaan 35,995 kenderaan. Daripada jumlah tersebut, 289 buah kenderaan diarah berpatah balik manakala 47 kompaun dikeluarkan atas kesalahan melanggar SOP COVID-19. PDRM juga telah melaksanakan 94 hebahan melalui kereta peronda. Kadar pematuhan penduduk terhadap SOP PKPB ialah 96.5%.

Penguatkuasaan SOP turut dijalankan di perairan laut Sabah oleh Pasukan Polis Marin yang melibatkan 48 pemeriksaan di kawasan Pantai Timur dan 26 pemeriksaan di perairan Kota Kinabalu dan Labuan. Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah telah melaksanakan sanitasi di Daerah Semporna melibatkan empat (4) premis.

Hebahan umum Info On Wheels Jabatan Penerangan Sabah mengenai pematuhan SOP dan pembudayaan norma baharu telah telah dilaksanakan di 159 lokasi di 20 buah daerah.
Kerjasama padu daripada semua pihak amat penting dalam usaha untuk memutuskan
rantaian COVID-19 dengan mematuhi SOP yang sedang berkuatkuasa dan mengamalkan norma baharu dalam kehidupan seharian.

Masyarakat juga dinasihatkan untuk menjalani ujian saringan dengan kadar segera sekiranya mempunyai kontak rapat dengan individu yang disahkan positif COVID-19.
Kerajaan Negeri komited untuk memberi yang terbaik kepada rakyat dari segi
penyampaian perkhidmatan, saluran bantuan kepada yang memerlukan dan sumber
informasi yang tepat.

#kitajagakita #stayhome #staysafe

#workfromhome
#normabaharu

Sekian.

YB MENTERI KERAJAAN TEMPATAN DAN PERUMAHAN DAN MENTERI KEWANGAN II
2 November 2020