KOTA KINABALU: Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, jumlah kes positif baharu COVID-19 di negeri ini adalah sebanyak 499 kes. Jumlah kumulatif ialah sebanyak 23,882 kes. Hari ini empat (4) kes kematian dicatatkan iaitu dua (2) di Daerah Kota Kinabalu dan masing-masing satu (1) di Tawau dan Sandakan. Takziah kepada semua keluarga yang terlibat.

Pada hari ini, seramai 526 pesakit COVID-19 telah discaj / sembuh dari hospital. Manakala, seramai 1,997 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 610 orang di hospital dan 1,387 orang di PKRC. Bilangan pesakit COVID-19 dalam ICU ialah 69 orang dan 17 orang pula memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated).

Pada hari ini, terdapat dua (2) kluster baharu direkodkan iaitu:
(i) Kluster Avenue di Daerah Penampang mencatatkan sebanyak 110 kes berkaitan dengan pekerja tapak pembinaan; dan (ii) Kluster Kejora di Daerah Kota Kinabalu mencatatkan 9 kes.

Daripada 499 kes positif COVID-19 hari ini, sebanyak 271 kes (54.31%) adalah berpunca dari Kluster Penjara Sandakan (122 kes) dan Kluster Avenue (106) di Daerah Penampang. Keputusan ujian saringan ini baru diperolehi dari makmal swasta yang dilantik.

Daerah Sandakan mencatatkan kes tertinggi pada hari ini. Daripada 165 kes yang direkodkan, sebanyak 122 kes adalah daripada Kluster Penjara Sandakan, 19 kes Kluster Mesra dan masing-masing satu (1) kes daripada Kluster Istimewa dan Kluster Tinusa. Manakala 19 Kes daripada saringan kontak rapat, dua (2) kes saringan bergejala, dua (2) kes saringan Brought In Dead (BID) dan masing- masing satu (1) kes daripada saringan kemasukan hospital dan saringan komuniti.

Manakala Daerah Penampang pula, mencatatkan kes kedua tertinggi iaitu sebanyak 115 kes. Daripada jumlah ini, Kluster Avenue (106 kes), saringan bergejala (3 kes), saringan kontak rapat (2 kes), saringan pekerjaan (2 kes), saringan kendiri (1 kes) dan saringan pra pekerjaan (1 kes).

Jumlah kapasiti katil di Hospital COVID-19 adalah sebanyak 990 katil akibat penutupan Hospital Covid Daerah Kudat yang mempunyai 20 katil. Sementara, bilangan katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) adalah sebanyak 5,368 katil disebabkan pengurangan sebanyak 250 katil di Penjara Sandakan. Ia menjadikan jumlah keseluruhan katil pada hari ini adalah sebanyak 6,358 katil dengan peratus penggunaan 31.41%.

BANTUAN BAKUL MAKANAN (FOOD BASKET)

Sehingga hari ini, sebanyak 184,641 bakul makanan telah diagihkan kepada
golongan sasar.

LAPORAN SEKATAN JALAN RAYA (SJR), PENGUATKUASAAN PERAIRAN SABAH, SANITASI DAN HEBAHAN UMUM INFO ON WHEELS

Sebanyak 74 SJR telah dilaksana melibatkan pemeriksaan 58,430 kenderaan. Daripada jumlah tersebut, 103 buah kenderaan diarah berpatah balik manakala 7 kompaun dikeluarkan atas kesalahan melanggar SOP COVID-19. PDRM juga telah melaksanakan 44 hebahan melalui kereta peronda. Kadar pematuhan penduduk terhadap SOP PKPB ialah 97.63%.

Tiga daerah mencatatkan kadar pematuhan yang tinggi ialah Kinabatangan (99%), Sipitang (99%) dan Kota Kinabalu (99%). Manakala daerah yang mencatatkan kadar pematuhan yang terendah ialah Semporna (95%), Kota Belud (96%) dan Ranau (96%).

Penguatkuasaan SOP turut dijalankan di perairan laut Sabah oleh Pasukan Polis Marin yang melibatkan 45 pemeriksaan di kawasan Pantai Timur dan 19 pemeriksaan di perairan Kota Kinabalu dan Labuan.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah telah melaksanakan sanitasi di 14 premis di lima (5) buah daerah iaitu Tawau, Kinabatangan, Semporna, Kota Marudu dan Lahad Datu.

Hebahan umum Info On Wheels Jabatan Penerangan Sabah mengenai pematuhan SOP, amalkan 3W, elakkan 3C dan pembudayaan norma baharu telah dilaksanakan di 97 lokasi di 17 buah daerah. Hebahan dibuat dalam empat (4) bahasa iaitu Bahasa Malaysia, Bahasa Mandarin, Bahasa Kadazan dan Bahasa Bajau.

Kerjasama padu daripada semua pihak amat penting dalam usaha untuk memutuskan
rantaian COVID-19 dengan mematuhi SOP yang sedang berkuatkuasa dan mengamalkan norma baharu dalam kehidupan seharian.
Masyarakat juga dinasihatkan untuk menjalani ujian saringan dengan kadar segera
sekiranya mempunyai kontak rapat dengan individu yang disahkan positif COVID-19.

#kitajagakita #stayhome #staysafe

#workfromhome
#normabaharu

YB MENTERI KERAJAAN TEMPATAN DAN PERUMAHAN DAN MENTERI KEWANGAN II
17 November 2020