BEAUFORT: Pembersihan sungai utama skim Limbawang dekat sini diyakini akan mengurangkan risiko banjir di beberapa buah kampung berhampiran yang sebelum ini turut menjejaskan laluan utama penduduk.

Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan Dan Perumahan dan Kewangan II, Datuk Isnin Aliasnih ketika membuat tinjauan berkata, masalah banjir kilat yang berlaku di kawasan skim Limbawang adalah disebabkan ketiadaan penyelenggaraan membersihkan anak sungai.

Justeru dalam tinjauan tersebut, Isnin ditemani Jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran Beaufort, Pg Ismail bin Pg Osman turun padang bagi melihat sendiri keadaan anak sungai yang menjadi punca kepada banjir kilat di Kampung Pintas, Kg Kubu dan Kg Selagon.

Selepas tinjauan tersebut, Isnin turut meluangkan masa sebentar bersama Pg Ismail bagi membincangkan beberapa perkara berkaitan bagi memastikan tindakan segera dapat diambil untuk mengatasi masalah terbabit.

“Saya dimaklumkan kerja-kerja pembersihan sungai utama skim Limbawang telahpun dimulakan. Dalam lawatan ini saya berkesempatan meninjau keadaan anak sungai yang menjadi punca kepada banjir di kawasan ini.

“Selain menjejaskan laluan utama penduduk, banjir kilat ini juga turut menjejaskan tanaman kelapa sawit serta pengusaha untuk mengeluarkan hasil mereka disebabkan oleh beberapa saluran tersumbat, ” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas membuat tinjauan dan perbincangan bersama jurutera JPS Beaufort dekat jalan Limbawang bypass.

Dalam perkembangan berkaitan, Isnin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klias memberi jaminan akan melakukan yang terbaik bagi menyelesaikan masalah-masalah yang diutarakan demi keselesaan rakyat.

Tambah beliau, peruntukan bagi projek pembersihan itu telah disediakan dan kerja-kerja pembersihan akan dilaksanakan secara berperingkat memandangkan ia secara tidak langsung menjejaskan ramai penduduk.

Justeru Isnin berharap rakyat akan terus memberikan sokongan dan kepercayaan kepada kerajaan pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam membawa pembangunan dan kemajuan yang memberi manfaat kepada rakyat di negeri ini.

Dalam masa sama Isnin akan turut mengajukan cadangan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah untuk memasang cermin sisi di jalan Limbawang bypass simpang empat berdekatan Jalan Pintas berikutan kekerapan kemalangan di lokasi terbabit.-pr/BNN